Selangor utuh bersama PH biar pun cuba digugat - Syamsul Firdaus

 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor kekal utuh biarpun Perikatan Nasional (PN) berjaya menukar kerajaan memerintah di beberapa negeri.

 Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri, meskipun terdapat beberapa percubaan untuk memesongkan sokongan ADN Selangor sejak Langkah Sheraton pada Februari lalu, namun usaha berkenaan menemui jalan buntu.

 Katanya, bukan sahaja kerana Selangor merupakan kubu kuat PH tetapi juga ADN di negeri ini lebih bertanggungjawab terhadap mandat yang begitu besar diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

 "Dalam PRU lalu kita mendapat peningkatan jumlah kerusi yang banyak berbanding PRU 13. Pada PRU 2008 Pakatan Rakyat menang 36 kerusi, tahun 2013 menang 44 kerusi tetapi pada 2018 PH menang 51 kerusi. Pembangkang hanya tinggal 5 kerusi.

 "Namun setelah 22 bulan, berlaku pula Langkah Sheraton. Terdapat kesan di Selangor apabila beberapa wakil rakyat yang terbabit itu berasal dari Selangor. Mereka dari DUN Bukit Antarabangsa dan Gombak Setia.

 "Parti Bersatu yang ada 5 ADN juga mengisytihar keluar PH. Kita hilang 7 kerusi dan tinggal 44 kerusi. Kemudian berkurangan 2 kerusi lagi, iaitu Lembah Jaya dan Sementa. Jadi 42 kerusi itu kekal (hingga kini) utuh sebagai kerajaan.

 "Negeri Sembilan dengan beza 4 kerusi pun tidak jatuh kerana kekuatan yang dibina dan sukar dipesongkan. Selangor dengan kekuatan 42 kerusi saya yakin ADN konsisten dengan sokongan tersebut. Mungkin ada sedikit sebanyak perselisihan pendapat. Di mana-mana pun ada perkara seperti itu," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.

 Menurut Syamsul lagi, pihak lawan bagaimanapun tidak berputus asa untuk mengubah pemerintahan Selangor. Cuma, bagi beliau prinsip dan taat setia kepada perintah agama diutamakan berbanding laba dunia.

 Katanya, sebaik sahaja seseorang ahli politik mensia-siakan harapan para pengundi maka seseorang itu berisiko tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi pada masa hadapan.

 "Saya sendiri, ada seorang ADN yang berpaling tadah bertemu saya, mungkin secara bergurau atau serius memberitahu: "Taman Medan, kalau Taman Medan ikut kami, kita tambah peruntukan sekali ganda".

 "Tapi bila mana kita ingat balik amanah yang diberikan oleh rakyat, rakyat mengundi dengan satu harapan tiba-tiba kita curang, kita harus bimbang orang yang memilih kita rasa dianiaya.

 "Saya amat berpegang kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w, 'takutlah kamu kepada doa orang teraniaya'. Mereka doa, dijanjikan Allah tidak akan tolak.

 "Selain itu saya juga bimbang rakyat tidak akan percaya lagi kepada sistem demokrasi di negara ini (apabila wakil rakyat dengan mudah menjual diri)," katanya lagi.

 Ustaz Syamsul merupakan wakil rakyat penggal pertama di DUN Taman Medan. Beliau pernah menjadi tajuk berita pada awal 2009 apabila diberhentikan dari jawatan imam di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan kerana kecenderungan politiknya. Sejak itu, Syamsul terus menceburkan diri ke dalam dunia politik dan berjaya dilantik sebagai wakil rakyat di Selangor pada 2018.

 


No comments: