Komitmen tegakkan keadilan, banteras rasuah tidak dikompromi - PH



Pakatan Harapan (PH) tidak akan berkompromi dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dalam usaha membentuk semula kerajaan mandat rakyat di Putrajaya.

 Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan, perjuangan untuk mewujudkan urustadbir yang baik selama dua dekad itu akan diteruskan andainya PH berjaya mengambilalih Kerajaan Persekutuan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

 "Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat bulanan semalam, yang telah membincangkan beberapa perkara termasuk keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, serta usaha di peringkat Persekutuan untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

 "PH menegaskan, walau apa sekalipun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat itu, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi," kata Majlis Presiden dalam satu kenyataan.

 Selain itu, Majlis Presiden PH turut mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong segera sembuh setelah menjalani rawatan di hospital sejak 21 September lalu.

 "PH turut mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan sembuh dari sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi," kata mereka lagi.

 

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung AMANAH Datuk Wira Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.