Rata-rata penyokong Barisan Nasional (BN) menyerang Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dianggap berlagak ekoran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Hantaran Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu di Facebook miliknya yang mengangkat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung penerimaan Parti Bersatu Sabah (PBS) terhadap pemilihan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 dihujani kecaman.
Ahmad Fayhsal menganggap penerimaan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili itu sebagai muafakat antara ADUN dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Bila difikir setiakawan PBS ini adalah antara “masterstroke” DS Hamzah Zainuddin yang mengurus kesefahaman PBS-Perikatan Nasional melalui perjanjian kesepakatan politik yang ditandatangani secara rasmi masa berkempen tempoh hari.
“DS Hamzah juga banyak menjadi orang tengah antara kerusi bertindan PBS dan STAR (Perikatan Nasional).
“Kerana rundingan tersebut GRS berjaya menang kerusi kritikal khusus di kawasan KDM. Perikatan Nasional tak langgar dan tak bertembung dengan PBS sama sekali,” katanya.
Kenyataan Ahmad Fayhsal itu dilihat sejam selepas dia menulis antara lain menekankan Perikatan Nasional (PN) terbukti mempunyai kekuatan tersendiri walaupun tidak sampai setahun gabungan itu.
Pendapatnya yang turut menegaskan PN dan Muhyiddin sebagai “tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik” itu kemudiannya mengundang reaksi tidak puas hati Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sehubungan itu, warganet termasuk dilihat pengundi Sabah yang menyokong BN mengkritik Ahmad Fayhsal dan menyifatkannya sebagai mengampu pimpinan tertinggi.
Antaranya Afiq Salleh yang berpendapat bekas pegawai kepada Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai berlagak.
“Kau punya lagak ni macam sampai syurga suda tau kau ni. Agak agak bah. Batimbang timbang juga kalau becakap.
“Ya, kaulah yang manang semua. Lobangon punya orang. Syukur-syukurlah kau BN nda pergi radu tu kerusi BN yang dilompat pergi parti bunga (Bersatu) tempoh hari.
“Kami banyak bersabar dan bertoleransi, tidak apa. Pemuda BN Sabah membawa falsafah baharu dan sangat berjiwa besar. Kami redha, pasti ada hikmahnya. Teruskanla ampu dan kipas mu tu. Puiii!” kata Afiq yang turut menggelar Ahmad Fayhsal sebagai “jargon”.
Tidak kurang juga yang mendesak Fayhsal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti selain menempelak Senator itu tentang jawatan disandangnya.
“Kau dapat jawatan pun sebab menjilat (mengampu) Abah Muhyiddin bukan sebab rakyat pilih kau. Rakyat akan benci PPBM terutama orang muda disebabkan perangai bodoh kau yang pekat,” kutuk Afifee Raman.
Sementara itu, Azlif Ahamat Azlif berkata, penyokong BN terpaksa memangkah calon PN kerana calon BN tidak bertanding.
“Kalau ada bendera BN nak dipangkah di kawasan PPBM mengundi hari itu, memang boleh kira pakai jari agaknya yang memangkah PPBM ni,” katanya.
Untuk rekod, BN dan PN menggunakan lambang berbeza bagi menghadapi PRN pada 26 September lalu.
BN terdiri daripada gabungan parti Umno, MCA, MIC serta sekutunya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
PN pula merupakan gabungan Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menggunakan lambang ‘Perikatan Nasional’.
Keputusan PRN Sabah ke-16 menyaksikan Bersatu hanya mendapat 11 kerusi manakala Umno-BN meraih 14 kerusi.
Walau bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata dalam luahan hatinya semalam, Umno-BN sekali lagi mengalah kepada Bersatu untuk menerima Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah sebagai Ketua Menteri yang baharu.