KAH...ADAKAH HAJI HADI NAK JAWATAN LEBIH TINGGI?


 

Tak semena-mena dan tiada angin, tiada ribut, Presiden PAS, Hadi Awang mendedahkan beliau

hampir dimasukkan ke wad kerana terlalu bekerja keras untuk memastikan peralihan kuasa berjalan lancar pada Februari lalu.

Hadi yang terlibat secara langsung dalam proses tersebut menyifatkan pertukaran kerajaan ketika itu sebagai pengalaman paling meninggalkan kesan sepanjang 56 tahun penglibatannya dalam politik.

“Saya dan rakan-rakan pimpinan politik negara berhempas pulas dalam isu ini sehingga saya tidur tak cukup, sehingga dua kali dinasihatkan untuk masuk hospital.

“Namun kami bekerja dengan penuh semangat hingga berlaku ‘perubahan’ yang sangat menarik dan aman, sampai tidak ada satu titik darah pun yang tumpah kerananya,” ujar Hadi dalam wawancara dengan sebuah portal.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dalam kemelut politik tersebut, tanggungjawab yang dipikul mereka antaranya memastikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan orang Islam itu sendiri tidak terjejas.

“Akhirnya kita berjaya mewujudkan titik pertemuan bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu, Islam yang adil untuk semua.

“Kita juga berjaya mengajak kaum bukan Islam yang tidak esktrim, yang bencikan huru-hara dan pergaduhan untuk bersama kita sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Ehhh….kenapa Hadi menyebut semua ini?

Apakah beliau rasa hanya dirinya seorang saja yang bekerja keras dan tak cukup tidur pada waktu itu?

Bukankah semua orang bekerja keras dan tak cukup tidur malam pada ketika itu?

Lagi pun, sebagai orang lama dalam perjuangan politik, tidakkah kurang tidur dan bekerja keras itu perkara biasa saja?

Ataukah ini merupakan isyarat bahawa Hadi tak berapa puas hati dengan jawatan duta bertaraf menteri yang diberikan kepadanya sekarang yang mungkin tidak berbaloi dengan kerja keras dan tidak cukup tidurnya ketika itu?

Adakah tujuan mengungkit ini bermakna Hadi sedang mengendeng-ngendeng kepada Muhyiddin Yassin agar beliau diberikan jawatan lain seperti menteri kanan atau Timbalan Perdana Menteri?(Shahbudindotcom 29/09/2020)

No comments: