DAHSYATNYA. SALAM PENGENALAN SAHAJA 6 JUTA


Berikut adalah antara keterangan seorang saksi semalam dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sebagaimana dilaporkan oleh portal Malaysiakini.
Zahid Hamidi berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 lagi melibatkan pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan diadakan hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
=====================================
Seorang saksi mengaku sanggup meminjam wang daripada rakan-rakannya untuk memberikan wang sumbangan berjumlah RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan ‘projek’.
Menurut bekas pengarah Kiosk Solution Sdn Bhd dan MTM Network Sdn Bhd, Ng Hong Sing, 56 tahun dia telah diperkenalkan kepada individu bernama “Datuk Ruzi” oleh seorang kawannya, yang menurut Ng merupakan “orang kuat di Bagan Datuk”.
Katanya, antara sebab dia mahu berkenalan dengan Ruzi adalah kerana Ruzi juga merupakan “orang kuat” kepada Ahmad Zahid Hamidi.
Ng berkata pemberian sumbangan itu juga sebagai ‘perkenalan’ antara dirinya dengan bekas timbalan perdana menteri itu.
Pada sekitar Januari 2016, Ruzi menawarkan untuk memperkenalkannya kepada Ahmad Zahid, namun memaklumkan dia harus memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi “bagi tujuan mendapatkan kerja”, sebelum membawanya berjumpa Ahmad Zahid seminggu kemudian.
“Mula-mula, saya kata (sumbangan) RM1 juta, dia (Ruzi) cakap terlalu sedikit. (Dia tanya) paling banyak berapa kamu boleh (bagi), saya kira-kira saya boleh buat RM3 juta, tapi dengan bayaran asing-asinglah, bukan sekali,” katanya ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.
Dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid di rumahnya, Ng berkata, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepadaya kerana sudi memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.
“Saya juga ada memberitahu kepada tertuduh jika dapat memberikan peluang pelaburan kepada saya kerana syarikat saya mempunyai pengalaman luas dalam bidang IT.
Tertuduh juga ada memberitahu kepada saya bahawa urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Datuk Ruzi.
“Pertemuan tersebut telah berlaku dalam lebih kurang lima hingga enam minit,” katanya lagi.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, kata Ng, Ruzi memberitahu kepadanya, “jika saya menyumbang lebih kepada Yayasan Akalbudi, saya akan mendapat projek yang lebih besar”.
Dia kemudiannya bersetuju menyumbang sebanyak RM6 juta kepada yayasan berkenaan.
“Dia (Ruzi) cakap tolonglah, sebab yayasan pun duit tak cukup. Saya fikir-fikir, saya boleh pinjam duit sama kawan-kawan. Lepas kira-kira, itu yang maksimumlah”.
Bagaimanapun, dia mengaku, meskipun setelah menyumbang sehingga RM6.6 juta, dia tidak mendapat apa-apa projek seperti diharapkan.

No comments: