Apa faedahnya tubuh semula JASA waktu gelombang kedua Covid 19?
Kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN) dibidas kerana lebih mengutamakan jentera propaganda ‘songsang’ daripada fokus menangani wabak Covid 19 yang memasuki gelombang kedua berikutan kenaikan angka pesakit terbaharu.
Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung menolak cadangan kerajaan PN yang ingin menghidup kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam masa terdekat selepas Pakatan Harapan (PH) membubarkannya bagi menjimatkan kos operasi kira-kira dua tahun lalu.
“JASA telah dibubarkan ketika pemerintahan PH bersama agensi Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU).
“Pembubaran atau penamatan agensi-agensi berkenaan membawa penjimatan kos sebanyak 500 juta setiap tahun. Namun, tindakan Kerajaan PN sanggup mengembalikan JASA dalam situasi kritikal ini adalah tidak wajar dan tidak sepatunya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Chean Chung, JASA diberi peruntukan besar RM22.9 juta pada 2017 dan tahun yang seterusnya RM30 juta hanya untuk menyebarkan propaganda kerajaan Barisan Nasional ketika itu. Ketua Pengarah pada masa itu memperolehi gaji mencecah RM20,592 setiap bulan berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang hanya menerima RM14,907 sebulan. Lebih mengejutkan, sebanyak RM12.8 juta peruntukan kerajaan diberikan kepada JASA sebagai bayaran emolumen kepada 272 kakitangan pada ketika itu.
Sehubungan itu, ADUN Semambu tersebut menggesa kerajaan menggunakan peruntukan yang ada dengan lebih berhemat dan memberikan keutamaan memerangi wabak Covid-19 berbanding membazirkan masa menyebar propaganda.
“JASA merupakan sayap propaganda Barisan Nasional yang bertanggungjawab memutar belit isu dan fakta berkenaan kes 1MDB, menggaji tentera siber parti untuk membuat publisiti murahan dan menjadi tempat untuk Umno serta BN menempatkan penyokongnya bagi mendapat gaji bulanan.
“Dengan itu, saya mengesa Kerajaan PN memberi tumpuan sepenuhnya memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, bukan membazirkan pendapatan negara dalam agenda propaganda berunsur politik,” katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan PN secara agreasif telah menukarkan beberapa kakitangan atasan di jabatan-jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memperkukuh penyebaran propaganda.
Cuma masalahnya, ketika era BN JASA adalah agensi penyedia kandungan manakala jentera kerajaan di bawah KKMM hanyalah alat untuk menyebarkan propaganda menolak pembangkang.
Oleh itu, peranan JASA amat diperlukan dalam situasi terkini bagi menyediakan isi kandungan dan memberi arahan berpusat propaganda PN.