PEMUDA NEGARA HILANG ARAH TUJU, SERTAI UMNO DEMI KELANGSUNGAN HIDUP

KENYATAAN MEDIA
27 JULAI 2020, ISNIN

Hari ini saya dimaklumkan bahawa salah seorang mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan Beaufort, saudara Keven Lee telah menyertai UMNO bersama lebih kurang 40 pengikutnya.
Saya memandang apa yang berlaku ini sebagai satu bukti jelas bahawa mereka telah hilang arah dalam politik. Untuk makluman saudara Keven telah digantung keahlian kerana dengan jelas menyokong kumpulan pengkhianat dalam langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.
Ada di antara mereka sebelum ini pernah menghubungi beberapa Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Negeri menyatakan kekesalan kerana bersama gerombolan pengkhianat menyertai Pemuda Negara dengan dijanjikan "bulan dan bintang"
Namun akhirnya mereka menyedari kumpulan itu tidak ada hala tuju jelas dalam politik sehinggakan ada diantara mereka menyertai bukan sahaja BERSATU malah UMNO yang mereka sering kata sebagai sebuah parti yang paling korup. Malah ada antara mereka terpaksa "u-turn" dengan bersama KEADILAN semula.
Seperti juga Azmin, anak-anak buahnya juga tidak tahu hala tuju mereka selepas langkah pengkhianatan yang mereka ambil sehingga mereka terumbang-ambing dalam memilih halatuju politik baru mereka.
Mereka boleh saja menunjukkan mereka 'gah' dengan NGO Pemuda Negara, Penggerak Komuniti dan DAYA namun dari segi politik jelas mereka telah 'gagal' dalam mengikut "planning" asal mereka sehingga kebanyakannya terabai yang akhirnya memilih untuk menyertai parti korup yang telah ditolak rakyat seperti UMNO.
Saya tumpang simpati kepada sahabat lama dan semoga ia menjadi pengajaran kepada anak muda agar kekal berprinsip dalam perjuangan dan tidak gelojoh mengejar jawatan dan habuan lain sekaligus menggadaikan maruah diri.
RAYMOND AHUAR
Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah