“Jika dengan kerjasama Pas-Umno dapat menumbangkan PH (Pakatan Harapan), saya bersetuju kerana menumbangkan PH adalah ibadah.”
Itu penegasan terbaharu Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik menjawab apa yang didakwanya soalan daripada beberapa ahli parti komponen PH berhubung kerjasama Pas dengan Umno.
“Saat itu demi agama, bangsa dan negara saya tidak pernah menoleh lagi kebelakang siapa Umno sebelumnya.
“Kerana Nabi saya mengajar saya dalam sejarahnya. Baginda tidak pernah lagi menoleh ke belakang siapa Umar sebelum memeluk Islam.
“Tapi yang penting ialah kekuatan Islam,” katanya pagi ini dalam catatan yang dinamakannya “Subuh yang hening di desa An Nuur”.
Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu berkata, turut diberikan fokus apabila partinya memutuskan untuk bertahaluf dengan Umno ialah taat kepada pemimpin dan patuh kepada keputusan jemaah yang kedua-duanya juga dianggap ibadah.
“Taat kepada pimpinan saya adalah ibadah. Selagi tidak menyalahi suruhan agama. Wala kepada keputusan jamaah dan parti adalah ibadah,” tegasnya yang sebelum ini pernah ditegur pakar selepas berkongsikan hadis yang sangat daif malah ada ulama yang menyatakan palsu.
Mokhtar juga berpendapat tiada untungnya “melihat Umno sebelum ini”, bahkan itu pun, katanya, tidak pasti lagi kerana semuanya bercampur aduk dengan fitnah pihak PH.
“Bijakkah saya mengungkit kejahatan lampau kawan saya? Sambil memejamkan mata dengan kejahatan kamu yang masih berleluasa?
“Jika jawapan saya itu menandakan saya belum insaf, maka saya rela untuk tidak insaf,” tegas pemilik Pusat Pendidikan Islam Annur Jalan Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor di Kuantan itu lagi.
Semalam, Pas yakin kerjasama politik bersama BN dan Bersatu semakin mantap sekali gus bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).