MENYEPAK BERSATU ADALAH SATU SATUNYA JALAN MENGUASAI TAMPUK PM


Image
Pas melalui Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan semalam cuba meyakinkan bahawa kerjasama semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) adalah mantap dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRU15.
Tambah beliau, segala spekulasi mengenai kerapuhan PH adalah bersifat khabar angin semata-mata.
“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan, termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.
“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian UMNO telah tampil menyanggah kenyataan Pas tersebut.
Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin berkata, kenyataan Takiyuddin itu hanyalah merupakan keyakinan Pas semata-mata, sedangkan parti-parti dalam PN masih belum ada sebarang komitmen mengenai persediaan menghadapi PRU15.
“Kenyataan itu tidak lebih hanya mencerminkan keyakinan PAS saja. Kita belum bincang apa-apa pun,” tegas bekas Menteri Besar Johor itu lagi.
Maka, apa makna semua ini?
Maknanya tidak lain ialah UMNO sekali lagi membuktikan ia tidak mahu mendukung PN dan bersama Bersatu serta Muhyiddin Yassin dalam PRU akan datang.
Oleh kerana Bersatu adalah parti serpihan UMNO, menerima parti itu untuk bersama-sama menghadapi pilihanraya bermakna mereka perlu berkongsi dari segi pembahagian kerusi.
Dalam keadaan Bersatu porak-peranda, berpecah, ahli tidak seramai mana, cawangan dan akar umbi tiada, berbahagi kerusi dengan parti itu lebih merugikan UMNO, walaupun ketika ini Muhyiddin selaku Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri.
Tetapi, jangankan untuk jangka panjang, untuk menghadapi PRU akan datang saja pun, tanpa pertolongan UMNO, Bersatu tidak akan mampu ke mana-mana.
Dalam PRU14 lalu, kemenangan Bersatu di kerusi Parlimen dan BN banyak dibantu oleh jentera PH yang lebih tersusun serta sokongan pelbagai kaum.
Untuk itu, selain UMNO mempunyai lebih banyak kerusi, di tambah dengan kedudukan Bersatu yang tidak stabil dan terlalu lemah, mengenepikannya sama sekali dalam PRU15 adalah pertimbangan yang paling munasabah bagi UMNO.
Bersama BN dan Pas, disertai tiupan slogan Melayu Islam, meskipun belum ada jaminan seratus-peratus, UMNO tentu saja mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenangi PRU akan datang tanpa ada Bersatu bersama mereka.
Dalam erti kata lain, “menyepak” Bersatu dan Muhyiddin adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi bagi UMNO.
Lagi pun, sejak lebih 60 tahun biasa duduk di kerusi Perdana Menteri, UMNO sebenarnya mula berasa janggal membiarkan parti lain, apalagi parti kecil yang berpecah dan tidak stabil seperti Bersatu, bertakhta di atas mereka.
Tambahan lagi, baik Presiden UMNO, Zahid Hamidi atau bekas Presidennya, Najib Razak, kedua-duanya kini sedang mengintai dengan serius untuk menjadi Perdana melalui kerjasama dengan Muafakat Nasional bersama Pas.
Jika kedua-duanya terhalang mencapai impian kerana hukuman penjara atas kes mahkamah yang sedang dihadapi sekarang, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Hishammuddin Hussein yang berada di lapisan kedua juga mempunyai naluri serta impian yang sama untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Pokoknya, dengan deretan pemimpin sendiri ramai yang menanti, UMNO tidak akan membiarkan pemimpin daripada parti lain menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.
Bagi mencapai impian tersebut, pasti saja ia lebih mudah dengan cara mengenepikan Bersatu, sebaliknya jika bersama PN di mana Perdana Menteri sedia ada adalah Muhyiddin, dengan sendirinya terlepaslah peluang UMNO menduduki semula kerusi yang diimpi-impikan itu. 
(Shahbudindotcom 09/06/2020)


No comments: