Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz didakwa sebenarnya tidak mengetahui dari mana datangnya sumber kewangan bagi membiayai rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, hanya selepas Tengku Zafrul ditemu ramah agensi berita Reuters, barulah diketahui bahawa kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan pakej rangsangan Covid-19.
Beliau berkata, ini akan menyebabkan defisit bajet menjadi sekali ganda dari yang telah diluluskan di dalam bajet 2020.
“Apabila ditanya oleh pemberita di mana sumber kewangan bagi membiayai pakej rangsangan ini, Tengku Zafrul menjawab ‘We will be looking into the eco-system’.
“Sudah terang lagi bersuluh sebenarnya beliau sendiri tidak jelas wang itu datang dari mana dan melalui apa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amiruddin turut mengingatkan bahawa rakyat menjangkakan kerajaan PN tidak perlu meminjam kerana mempunyai dana cukup dan rizab yang besar.
“Menteri Kewangan (sekarang) pula merupakan bekas pegawai bank, sudah tentu pandai cari duit dan bijak pula berbelanja,” katanya.
Pada masa sama, Amiruddin menjelaskan, bajet 2020 yang dibentangkan PH tahun lalu dan diluluskan, akan menyaksikan defisit bajet sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun katanya, dengan pakej rangsangan terkini di mana keseluruhannya sebanyak RM60 bilion, menjadikan jumlah hutang kerajaan bagi tahun ini saja menjadi RM111.7 bilion atau 6.9 peratus dari KDNK.
Jelasnya, dengan jumlah hutang yang masih belum dicampur dengan hutang belum langsai, akan menyebabkan hutang awam negara melebihi 55 peratus dari KDNK dan ini memerlukan kelulusan dari parlimen.
“Jelaslah berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan sebenarnya apa yang disebutkan oleh Tun Mahathir dan Guan Eng sebelum ini adalah benar, negara perlu berhutang jika bajet defisit,” katanya.
Ujar Amiruddin lagi, sejak PN mengambil alih pentadbiran Malaysia, laungan dan teriakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng menipu rakyat sering berkumandang.
Waktu itu, turut dikatakan kerajaan tidak mempunyai duit dan perlu berhutang untuk berbelanja
Oleh kerana itu katanya, terdapat NGO membuat laporan polis berkenaan masalah kewangan negara semasa PH memerintah, lantas menubuhkan RCI untuk menyiasat isu Bon Samurai, penjualan aset Khazanah, Tabung Haji, LTAT dan sebagainya dilaksanakan.
“Namun apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, berbeza pula dakwaannya.
“Saya ucapkan selamat membuat laporan polis kepada NGO yang berkenaan pada 12 Jun 2020 di IPD Dang Wangi,” katanya.