Sejam berdiri mahu jumpa Faizal, kerajaan Perak masih utuh
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim menjelaskan tindakannya berdiri lebih sejam depan pagar kediaman Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam hanyalah untuk mendapat penjelasan Menteri Besar Perak itu.
Jelas ADUN Titi Serong itu, beliau mahu tahu dari mulut Ahmad Faizal sendiri mengenai pendiriannya tentang kedudukan kerajaan negeri Perak ketika ini.
“Kenapa saya berdiri di depan rumah Menteri Besar semalam? Dari 2.30 petang sehingga 3.45 petang saya berdiri depan rumah Datuk Seri MB. Semata-mata untuk mendapatkan pandangan dan pendirian beliau tentang kerajaan Perak terkini.
“Ada yang cakap, apalah YB Hasnul berjam-jam berjemur tengah panas nak jumpa MB. Awok dulu bereformasi tengah panas, tiada masalah. Yang pentingnya, membawa suara rakyat, kita nak dengar dari MB,” katanya dipetik Astro Awani.
Walaupun tidak dibenarkan berjumpa Ahmad Faizal, Hasnul berpuas hati kerana Menteri Besar itu menghubunginya semula apabila pulang ke rumah.
Dakwanya, Ahmad Faizal mengakui masih mahu bersama rakyat yang memilih Pakatan Harapan.
“Yang penting tidak kira siapa YB, yang kita nak bicarakan ialah keresahan rakyat. Yang miskin kita ingin bantu. Ini yang kita dengar dari MB.
“Alhamdulillah saya dihubungi (beliau) selepas saya balik. Dia cakap, Hasnul saya tahu awak di luar pagar, menunggu untuk jumpa saya. Tetapi saya ini tidak berkemampuan lagi kerana agak sukar untuk memberi jawapan. Tetapi hati saya ini tetap bersama rakyat yang memilih kerajaan Pakatan Harapan. Saya balik dalam keadaan lega,” tambahnya lagi.
Kata Hasnul, beliau akan berkhidmat dan meneruskan program kerajaan negeri selagi Ahmad Faizal masih tidak membuat apa-apa perubahan dan pengumuman.
“Saya tak marah. Saya faham nak jadi pemimpin ni bukan mudah. Alhamdulillah saya mendapat khabar gembira. Kerajaan ini dapat diteruskan,” katanya.
Pada Isnin, Hasnul menangis teresak-esak semasa ditemui di pejabatnya di Bangunan SUK Perak berikutan kemungkinan berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.
Beliau kemudian dilihat terus ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh dan menunggu lebih sejam dalam cuaca panas terik untuk berjumpa dengan Ahmad Faizal.
Namun, exco negeri itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan yang bertugas dan menyebabkan beliau pulang tidak lama kemudian.
Gambar beliau berdiri di depan pintu pagar berkenaan juga menjadi perbualan hangat di media sosial dan ada kalangan netizen melahirkan rasa kasihan terhadap Hasnul.