ANTARA sebab Kerajaan Pakatan Harapan tumbang adalah kerana Perdana Menteri tidak ada kuasa menentukan anggota Kabinet, mesti ikut pilihan parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan.
Jika pendekatan yang sama juga menjadi amalan ‘Perikatan Nasional’, maka boleh diramalkan kerajaan baharu ini akan jadi kerajaan yang lebih pendek tempohnya daripada Pakatan Harapan.
Semalam dalam perutusan pertama kepada negara, Perdana Menteri ada menyebut, “Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.”
Pernyataan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini diterima baik oleh majoriti rakyat, tetapi tidak oleh sebahagian ahli dan pemimpin parti-parti yang memberi sokongan kepada Muhyiddin sehingga boleh menjadi Perdana Menteri. Mereka berharap akan dapat kedudukan dan jawatan walaupun tidak menepati ciri-ciri yang disebut oleh Muhyiddin semalam.
Ini adalah satu petanda yang tidak bagus bagi Perikatan Nasional.
Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan mampu bertahan lama jika masih ada pemimpin yang menaruh harapan tinggi untuk dipilih sebagai anggota pentadbiran kerajaan (Menteri Kabinet) kerana merasakan mereka adalah ‘hero-hero’ yang membawa kepada berlakunya perubahan kerajaan.
Perikatan Nasional tidak ada banyak masa untuk memulihkan kepercayaan dan sokongan rakyat. Maksimum tiga tahun saja, itu pun jika Perikatan Nasional tidak terburai sebelum itu.
Apakah pemimpin-pemimpin parti politik yang terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional menganggap kerajaan baharu ini hanya satu Kerajaan Interim sebelum PRU ke 15?
Perikatan Nasional bukan satu perikatan politik jangka panjang hingga melepasi Pilihanraya Umum ke-15?
ika itu pendirian mereka, kenapa bersusah payah tubuh kerajaan baharu ini?
— AZIZI Safar, pemerhati politik