ADA CUKUP AHLI KAH



Abd Malek Hussein


Muhyiddin Yassin telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.‬

‪Muhyiddin akan mengetuai Jemaah Menteri bagi sebuah kerajaan yang belum dapat membuktikan ia mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.‬

‪Hanya ada satu jalan untuk membuktikannya, iaitu hadapkan Muhyiddin dengan suatu undi kepercayaan dalam Dewan Rakyat.‬

‪Tiada gunanya membangkitkan samada Kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu sah atau sebaliknya. Dia memang sah dilantik Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan fungsi baginda mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Itu sudah menjadi kenyataan pada hari ini.‬

‪Apa yang boleh dilakukan seterusnya, ialah Pakatan Harapan bersama tim Dr Mahathir, Warisan dan lain-lain lagi ahli Dewan Rakyat berganding bahu dengan kesungguhan untuk melakukan aksi Parlimen bagi menguji samada Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan majoriti atau minoriti dalam Dewan Rakyat.‬

‪Muhyiddin dilantik melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dan menerusi peruntukan dalam Perlembagaan yang sama Muhyiddin boleh diundurkan dan meletakkan jawatan.‬

‪Pakatan Harapan boleh kemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, kerana ada sebab untuk diyakini bahawa dia membentuk kerajaan dengan tanpa majoriti.‬

‪Muhyiddin mesti dibuktikan bahawa dia cuma mengetuai kerajaan minoriti.‬

‪Kerajaan pimpinan Muhyiddin yang baru ini belum diuji samada boleh bertahan dalam undi kepercayaan.‬

‪Usul tidak percaya boleh dikemukakan melalui pemberitahu bertulis oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat samada secara persendirian atau secara beramai-ramai di bawah Peraturan 27, Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. ‬

‪Masih bermakna sokongan 114 atau tidak kurang 112 ahli Dewan Rakyat yang menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Buktikan sokongan ini konsisten dan padu untuk mengenakan undi tidak percaya di dalam Mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bermula pada 9 Mac 2020, cuma beberapa hari sahaja lagi dari hari ini.‬

‪Jika Muhyiddin gagal mendapat kepercayaan majoriti melalui usul tidak percaya ini, beliau tiada pilihan kecuali meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, sepertimana menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪Apabila itu terjadi, dua kemungkinan boleh berlaku.‬

‪Pertama, Muhyiddin boleh meminta Agong membubarkan Parlimen, dan jika menyetujuinya, maka Parlimen dibubarkan dan pilihanraya umum diadakan.‬

‪Kedua, jika Agong menolakkan permintaan Muhyiddin untuk membubarkan Parlimen mengikut budibicaranya di bawah Perkara 40(2)(b), maka Agong boleh melantik Perdana Menteri yang baru tanpa perlu melalui pilihanraya umum. Dalam keadaan demikian, Akuan Bersumpah seramai 114 ahli Dewan Rakyat yang menyokong Dr Mahathir kini masih terpakai, atau ditambah lagi sokongan, bagi membuktikan kepercayaan majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.‬

‪Pakatan Harapan harus sasarkan Muhyiddin Yassin dikalahkan dalam usul tidak percaya sebelum Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Rakyat berakhir pada 16 April 2020.‬

‪Majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat yang terkumpul sekarang wajar digunakan untuk menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.‬

‪Amat patut Pakatan Harapan dan kekuatan yang telah terdapat kini digembelingkan untuk menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara.‬

‪Tidak mustahil ini boleh dilakukan oleh Pakatan Harapan.‬

‪Aku mohon mencadangkan.‬

No comments: