Kerajaan wajib salurkan maklumat tepat, cepat elak kekeliruan – Anwar
Keributan akibat perintah larangan pergerakan bagi mengelakkan penyebaran virus Covid 19 akibat maklumat yang tidak lengkap, tepat dan cepat dari kerajaan
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mesti lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat.
“Masalah yang dihadapi sekarang ini disebabkan penyelarasan dan jentera kerajaan yang lemah dalam menyalurkan maklumat.
“Saya menggesa kerajaan menyelesaikan masalah ini dengan segera dan lebih bertanggungjawab dan beretika pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata media, sebagai sumber maklumat utama rakyat, mesti diberi akses yang betul.
Maklumat yang bertentangan dan tidak tepat berhubung tindakan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan bermula hari ini hingga 31 Mac bagi mengekang Covid-19, menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Polis terpaksa membatalkan arahan mengisi borang di balai polis untuk perjalanan antara negeri selepas ribuan membanjiri stesen tersebut.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis akan mengeluarkan keputusan baru mengenai isu itu selepas mesyuarat hari ini.