Covid 19: Sektor perhotelan mungkin rugi RM130 juta
Wabak Covid 19 akan membawa malapetaka ekonomi kepada sektor perniagaan.
Sektor yang dijangka paling terjejas ialah perhotelan yang dijangka akan mengalami kerugian RM130 juta menjelang Disember. Demikian dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng
Sebelum ini sektor tersebut mengadu kerugian sehingga RM70 juta apabila sejumlah 170,000 bilik yang ditempah dibatalkan, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Walaupun perintah kawalan pergerakan dilihat sebagai langkah yang sangat diperlukan bagi mengawal penyebaran wabak Covid-19, ia datang dengan “tanda harga yang besar”, kata Yap.
“Pembatalan tempahan mewakili impak semasa yang disebabkan oleh Covid-19 tetapi kami lebih prihatin terhadap kehilangan permintaan untuk bulan mendatang.
“Kami menjangka kerugian akan berlipat kali ganda menjelang akhir tahun ini,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Perintah kawalan pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac dijangka akan menjadikan keadaan lebih buruk bagi industri hotel walaupun disenaraikan sebagai perkhidmatan penting yang membolehkan terus dibuka dengan jumlah kakitangan terhad.
Yap berkata hotel dimaklumkan tetamu yang sudah mendaftar masuk sebelum 18 Mac boleh terus menginap sehingga tarikh mereka keluar.
Bagaimanapun mereka akan kekal di dalam bilik sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
Pelanggan hotel juga akan mempunyai akses ke tempat makan dan minum tetapi kini ia terhad kepada perkhidmatan di bilik sahaja.
“Pelanggan dinasihatkan supaya tetap berada di dalam bilik sepanjang tempoh kawalan pergerakan,” katanya.
Pelanggan warga asing yang sudah keluar dari hotel tetapi tidak dapat meninggalkan negara ini akan dirujuk ke kedutaan masing-masing atau Jabatan Imigresen, kata Yap.
Selain dari perkhidmatan di bilik, semua kemudahan dan perkhidmatan hotel ditutup selama dua minggu akan datang.
Hotel juga dibenarkan menyediakan minimum kakitangan di premis sepanjang tempoh keperluan kritikal seperti keselamatan dan kejuruteraan.
Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein berkata hotel bajet (tiga bintang dan ke bawah) menerima arahan sama daripada Kementerian Pelancongan dan menganggarkan kerugian awal kira-kira RM10 juta.