Perintah Kawalan Pergerakan: Majikan Jangan Tekan Pekerja – MTUC

MARCH 19, 2020
Perintah Kawalan Pergerakan: Majikan Jangan Tekan Pekerja – MTUC
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pekerja mereka yang kehilangan pendapatan hasil kerja lebih masa dan komisyen susulan penularan wabak COVID-19.
Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata penutupan perniagaan tidak penting mulai 18 hingga 31 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu dibuat berasaskan gaji dibayar kerana majikan mempunyai pilihan untuk melakukan persediaan bagi kakitangan untuk bekerja dari rumah.
“Pekerja hendaklah dilayan seperti rakan kongsi dan majikan perlu melengkapi usaha kerajaan untuk mengekalkan keselamatan dan keharmonian sosial dan bukannya mengambil tindakan tidak wajar yang boleh mencetuskan kekacauan dalam negara” menurutnya dalam satu kenyatan di sin, lapor Bernama.
Beliau berkata majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara kerana Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah satu situasi di mana majikan tidak memberikan tugas kepada pekerja bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 hari bekerja biasa dalam masa empat minggu berturut-turut.
“Sebaliknya, ini adalah situasi di mana majikan diarah oleh kerajaan untuk menutup perniagaannya atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan. Oleh itu, majikan tidak boleh bergantung kepada Manfaat Penamatan Kerja dan Pemberhentian Sementara untuk memecat pekerja.
“Gaji juga tidak sepatutnya dipotong atau melakukan kerja lebih masa tanpa bayaran, cuti mingguan atau tahun dikurangkan susulan penutupan wajib selama 14 hari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata mana-mana majikan yang bergantung secara salah terhadap force majeure, atau doktrin kekecewaan kontrak atau manfaat penamatan kerja dan pemberhentian sementara atau cuba berunding dengan pekerja untuk membayar balik tempoh 14 hari itu boleh disifatkan sebagai kecuaian, salah laku dan perilaku yang bercanggah dengan kepentingan semua pihak berkepentingan dan negara.
Solomon berkata adalah penting majikan mempamerkan sikap patriotisme susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan mereka yang tidak mematuhinya akan berdepan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda.
“Oleh itu, adalah menjadi obligasi moral untuk majikan sektor swasta yang bukan tergolong dalam perkhidmatan penting untuk menutup perniagaan mereka dari 18 hingga 31 Mac untuk membantu usaha kerajaan membendung penularan wabak koronavirus yang berbahaya.
“Lebih cepat mereka patuh, lebih cepat kita boleh melangkah ke depan. Jika tidak, tindakan mereka boleh ditafsirkan sebagai satu subversi atau mensabotaj inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia dan keluarga mereka mampu mengharungi krisis global ini,” katanya.