SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan mengagihkan RM2.5 juta atau RM500 seorang secara sekaligus, kepada 5,000 penjaja dan peniaga kecil dalam kalangan asnaf fakir dan miskin yang terjejas dek penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa pemohon boleh mendapatkan borang Skim Bantuan Khas Peniaga Kecil Asnaf Pulau Pinang MAINPP melalui sesawang www.zakatpenang.com.
“Borang pendaftaran boleh diperolehi bermula 20 hingga 24 Mac 2020…untuk mendapatkan bantuan khas RM500 secara sekaligus.
“Ini, adalah sumbangan insentif ZPP dan MAINPP dalam membantu golongan asnaf berwajib yang terjejas teruk disebabkan COVID-19 dan ketika pelaksanaan Perintah Kewalan Pergerakan (dari 18 hingga 31 Mac 2020),” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP dalam sidang media di Ibu Pejabat ZPP dekat Bandar Perda di sini pada 19 Mac 2020.
Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohamad Noor; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long; Pengurus Besar ZPP, Amran Hazali dan beberapa Ahli Lembaga Pengurus ZPP lain turut sertai sidang media tersebut.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberitahu bahawa pemohonan mestilah pekerja sepenuh masa; pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000; tidak mempunyai simpanan tunai melebihi RM5,000; bermastautin di Pulau Pinang; hanya ketua keluarga layak menerima bantuan khas ZPP sekiranya lengkap mengisi borang pemohonan berwajib.
“Penjaja dan peniaga gerai makanan dan minuman di pasar malam, pasar tani, di tepi jalan jalan dan blok perumahan; peniaga pakaian (bukan butik) dan barang-barang keperluan…tukang gunting rambut kecil-kecilan boleh memohon bantuan khas ZPP ini.
“Peniaga di pasar basah atau pasar pagi tidak termasuk (dalam kategori layak menerima menerima) skim bantuan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ZPP
Gambar: ZPP