PH perlu kerja lebih keras demi rakyat – Guan Eng




Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menumpukan usaha menunaikan janji manifesto pilihan raya umum yang lalu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam mesej Tahun Baru 2020, hari ini. 
Menurut beliau, ia adalah salah satu perkara yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan PH pada 2020, selain mengukuhkan kedudukan ekonomi dan memastikan peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan dengan lancar.
Tambah Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, pemimpin DAP dan PH perlu mendengar suara hati semua rakyat Malaysia dan bekerja keras bagi meningkatkan ekonomi negara. 
Semua ini, katanya, perlu dilakukan bagi menangkis naratif palsu yang menuduh kerajaan PH kononnya tidak melakukan pembaharuan.
“Ramai yang mengakui kejayaan kita bahawa Malaysia kini bukan lagi kleptokrasi global, pun begitu rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada kita,” katanya. 
Kata Guan Eng, kemajuan ekonomi negara adalah di tahap yang baik sepertimana yang disahkan oleh agensi penarafan antarabangsa yang mengekalkan penarafan A3/A- selain peningkatan pelaburan asing.


No comments: