KENAPA PERLUNYA TOYOTA VELLFIRE

Selepas berhari-hari menjadi mainan di media sosial, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengesahkan tentang kontrak baru kenderaan rasmi bagi menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
Katanya, walaupun ia merupakan kontrak di bawah Kementerian Kewangan, tetapi perkara berkenaan akan diputuskan oleh mesyuarat kabinet.
Sehubungan itu, kata beliau, mesyuarat jemaah menteri akan datang akan membincangkannya, seterusnya membuat keputusan berkenaan kontrak tersebut.
Kontrak baru itu antara lain menyebut, kereta mewah Toyota Velfire akan digunakan sebagai kenderaan baru untuk menteri bagi menggantikan Proton Perdana yang digunakan selama ini.
Untuk itu, 32 buah kereta Velfire diperuntukkan dalam kontrak baru tersebut.
Selain itu, bagi kegunaan pegawai tinggi kerajaan pula, 3000 Honda Accord akan dibeli, juga bagi menggantikan Proton Perdana.
Kontrak yang dipercayai untuk tempoh 15 tahun, termasuk menyediakan perkhidmatan servis itu adalah bernilai RM300 juta setahun.
Berikutan tersebarnya kontrak ini, beberapa persoalan tidak menyenangkan timbul daripadanya.
Pertama, apakah kewajarannya untuk menteri-menteri mahu menggunakan Velfire berbanding Proton Perdana?
Selain Velfire jauh lebih mahal berbanding Proton Perdana, apakah kontrak baru ini bermakna kerajaan sudah melupakan kereta buatan Malaysia sendiri?
Atau, adakah ini sebahagian daripada hasil kekerapan Tun Mahathir Mohamad melawat Jepun, termasuk membuat pinjaman yen daripada negara tersebut?
Kedua, di sebalik kerajaan selalu bersungut kerajaan tiada wang dan menanggung hutang yang tinggi, tidakkah kontrak baru ini menambahkan lagi beban kewangan yang ditanggung?
Apa lagi agaknya elaun atau subsidi untuk rakyat akan dipotong selepas ini?
Ketiga, sementara prestasi menteri-menteri kerap menjadi bahan pertikaian rakyat, tidak malukah mereka mahu bermewah dengan Velfire itu?
Di mana keutamaan mereka, membela rakyat atau memewahkan diri sendiri?
Keempat, oleh kerana kontrak itu akan diputuskan oleh mesyuarat kabinet, apakah menteri-menteri yang ada cukup kuat imannya untuk menolak penggunaan Velfire itu secara sebulat suara?
Atau mereka nanti lebih cenderung untuk bersetuju sebulat suara?
Tetapi, secara umumnya, jika kontrak baru ini diluluskan juga oleh kabinet, bermakna PH telah terang-terang khianat kepada mandat yang diberi rakyat pada PRU14 lalu.
Kecuali jika kerajaan dengan segera membatalkan terus kontrak tersebut, kewujudannya banya memperlihatkan rupa-rupanya keghairahan PH untuk bermewah dan bergaya dengan wang rakyat saling tak tumpah seperti BN dahulu. (ShahbudinHusin 02/01/2020)

No comments: