Pasca PRK: PH akan kenal pasti punca penolakan rakyat
Segala masalah dan kelemahan Pakatan Harapan dalam setahun setengah memerintah negara akan dikenal pasti berikutan penolakan rakyat di pilihan raya kecil Tanjung Piai, minggu lepas.
Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata demikian usai mensyuarat bersama pimpinan PH semalam
“Memang mesyuarat ini ambil masa yang panjang kerana banyak idea dikemukakan.
“Banyak juga teguran terhadap rancangan kerajaan yang diambil kira oleh menteri-menteri yang ada,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di Yayasan Kepimpinan Negarai.
Bagaimanapun kata Mahathir, semua parti komponen yang hadir dapat duduk dan berbincang dengan waras tanpa membuat tuduhan atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa.
Menurutnya, penyumbang kepada kekalahan besar itu ialah tahap kepercayaan orang Melayu dan Cina yang berbeza-beza terhadap PH.
“Ada tuduhan PH dikuasai sepenuhnya oleh DAP. Itu padangan orang Melayu.
“Orang Cina pula kata DAP diperkuda oleh Mahathir. Jadi nampak ‘balance’ la. Kedua-dua pihak tak puas hati,” sambung beliau
Sabtu lepas, calon MCA-Barisan Nasional Wee Jeck Seng memenangi PRK itu dengan lebih majoriti 15,000 undi dalam pertandingan enam penjuru mengalahkan calon PPBM-PH Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Ang Chuan Lock.
Tanjung Piai adalah kerusi campuran dengan 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% Melayu, 41.66% Cina dan 1% India.