Pertemuan Azmin – MP Umno cuba bodek PM?
Dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali kepada Perdana Menteri bahawa Ahli Parlimen Umno bertemu dengannya bagi mengadu kononnya mereka sudah ‘hilang parti’ dibidas.
Melalui satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen terbabit menjelasnya kehadiran mereka dalam mesyuarat ‘misteri’ di kediaman Azmin baru-baru ini sebenarnya bertujuan menjemput ahli politik kontroversi itu menyertai Umno.
Perkara itu diberitahu Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dalam kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu laporan berkata, beliau ada bertanyakan Azmin tentang tujuan perjumpaan itu.
“Saya tanya Datuk Seri Azmin apa dia bincang, dia kata orang Umno ini, mereka sudah ‘hilang parti’, tidak tahu hendak buat apa.
“Mereka tanya sama ada nak masuk parti lain atau tidak. Ada yang membuat kenyataan mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir,” katanya.
Tindak tanduk Azmin baru-baru ini mendorong pelbagai spekulasi politik. Terbaharu Azmin yang dikritik pemimpin partinya kerana tidak hadir mesyuarat diadakan mempersoal mengapa dia tidak terpilih untuk merasmikan kongres sayap pemuda parti itu yang bakal diadakan bulan depan.
Azmin sebelum ini turut dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’ dengan beberapa pemimpin termasuk bekas pemimpin tertinggi Umno, Hishammuddin Hussein.
Spekulasi juga bertiup kencang bahawa walaupun Mahathir berjanji menyerahkan tampuk kepimpinan kepada presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar ibrahim, namun Azmin juga bersaing untuk merebut jawatan itu.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menerusi Twitter berkata kenyataan bahawa MP Umno berkenaan ‘hilang parti’ sebagai fitnah.
Malah jelasnya sebahagian daripada pemimpin Umno terbabit turut memaklumkan kepadanya sebelum menghadiri pertemuan itu.
“Ia menggambarkan mereka yang terlibat sebagai pembelot, tidak setia dan hilang keyakinan pada parti sendiri.
“Azmin atur pertemuan itu, menggunakannya untuk membodek perdana menteri sebagai langkah menyelamatkan dirinya,” jelas beliau.