Umno tak terima hudud lambatkan tandatangan piagam?
Kelewatan memeterai piagam kerjasama politik antara Umno dan Pas mungkin diakibatkan kesukaran memasukkan undang-undang jenayah syariah atau hudud di dalam dokumen berkenaan.
Setiausaha Parti Amanah Negara Terengganu, Zulkifli Ali tidak menolak kemungkinan itu menyebabkan rundingan tidak lancar dan tarikh memeterai MoU yang sebelum ini dipersetujui selepas Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan ke bulan Ogos dan kemudian pada 14 September depan.
Katanya, tidak mustahil Umno menentang hudud dilibatkan sekali dalam piagam kerana akan menjejaskan sokongan bukan Islam kepada parti komponen BN seperti MCA dan MIC.
Begitu juga soal pembahagian kerusi, terutama negeri Pantai Timur yang dipercayai menimbulkan masalah kepada kedua-dua parti.
“Ada kemungkinan persetujuan berhubung hudud menyebabkan tandatangan piagam itu lambat. Isu ini sudah lama. Bukan sahaja Umno, MCA pun tidak bersetuju (hudud). Cuma kali ini mungkin mereka agak berlembut sedikit.
“Namun, selain dari isu hudud sebenarnya banyak perkara yang perlu diselesaikan iaitu pembahagian kerusi. Bukan mudah nak menyerahkan sesuatu kawasan terutama di Pantai Timur,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Zulkifli turut bersetuju, isu perundangan hudud yang diperjuangkan Pas selama berpuluh tahun tetapi tiba-tiba kurang diperkatakan sejak kebelakangan ini mungkin isyarat kepada ‘gugurnya’ perkara tersebut dalam piagam.
Bagaimanapun, menurutnya penyokong Pas di negeri Pantai Timur akan terbahagi kepada dua kumpulan sekiranya Pas benar-benar mengabaikan hudud.
“Di Pantai Timur, akan ada yang bersetuju dan tidak bersetuju. Akan lahir dua pihak apabila mereka mengambil sikap sebegitu. Satu pihak menentang dan satu pihak akan menyokong,” katanya lagi
Malah menurutnya, sudah wujud ahli Pas berhaluan kiri yang menolak taawun siyasi di sesetengah kawasan di Pantai Timur.
Mengulas isu logo BN dan Pas pula, beliau beranggapan Pas tidak mudah mengalah untuk menggunakan logo BN, meskipun Umno terbuka untuk menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Perkara itu, katanya akan membuat kedua-kedua parti tersepit.
“Sekarang ini dua-dua pihak memang tersepit. Jadi mereka nak dapatkan manfaat untuk parti masing-masing maka mereka terpaksa buat begitu. Namun, apa pun Pas tidak mudah untuk pakai logo orang lain,” katanya. RF8 Media