Situasi terburuk ekonomi telah berlalu – Tinjauan
Selepas setahun tiga bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya, satu perkara besar yang diakui komuniti perniagaan Malaysia ialah situasi terburuk ekonomi telah berjaya diatasi.
Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan peniaga mendapati berlaku pemulihan konsisten, khususnya kenaikan permintaan pengguna dalam beberapa bulan terakhir. Namun untuk memulihkan keadaan sebagaimana beberapa tahun sebelumnya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan.
Seorang peniaga barangan logam Robert Lee berkata, situasi akan bertambah baik sekiranya kerajaan menetapkan tarikh peralihan kuasa antara perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kepada penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar spekulasi liar tidak menguasai pasaran kewangan.
“Ekonomi sekarang kelihatan tidak teruk sepertimana setahun lalu. Kerajaan Malaysia sudah pun mendapat kembali sedikit wang yang diselewengkan oleh bekas pemimpin BN. Pelabur asing pun semakin yakin terhadap kerajaan.
“Namun, berita yang memberangsangkan ialah Perdana Menteri Tun Mahathir meyakinkan semua pihak bahawa beliau akan menepati janji untuk menyerahkan jawatan kepada Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dalam masa 2 tahun dari Mei 2018, seperti yang telah dijanjikan. Pengumuman ini mengukuhkan pasaran tempatan (Bursa Saham KL) dan memberi satu halatuju yang tepat kepada pelabur asing untuk membuat perancangan perniagaan mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun Lee menegaskan, kerajaan PH perlu bertindak lebih agreasif dalam merancakkan semula suasana ekonomi. Untuk itu, katanya Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Azmin Ali harus berganding bahu bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi merancang satu master plan ekonomi yang lebih berwawasan.
Menurut Lee, waktu ini rakyat masih menunggu-nunggu perancangan besar untuk mengembalikan Malaysia sebagaimana era ‘emas’ 1990an.
“Tidak banyak manfaat ketara yang dinikmati rakyat kecuali penghapusan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan. Justeru PH perlu berusaha lebih keras untuk menurunkan harga barang, di mana setengah-setengah barang mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi.
“Walaupun Kerajaan PH berada di atas landasan yang betul namun golongan B40 masih banyak yang belum menikmati kemakmuran negara. Salah satunya kad diskaun minyak yang diumumkan dalam Bajet 2019, adakah kad ini masih relevan atau akan diganti dengan subsidi lain dalam Bajet 2020.
“Pentadbiran Kerajaan PH perlu lebih serius dalam memberi manfaat kepada rakyat,” akhirinya. – RF8 Media