Anwar perolehi 90% sokongan, krisis PKR berakhir
Krisis dalaman PKR sepatutnya telah berakhir dengan penyataan taat setia 198 daripada 219 ketua Cabang parti itu dari seluruh negara.
Sokongan 90% ketua Cabang itu menafikan khabar-khabar angin sebelum ini yang mengatakan PKR akan terbelah dua antara pasukan Anwar dan pasukan Azmin.
Dengan hanya 20 ketua Cabang tidak menyokong dan majoriti ketua Cabang pro Azmin mengiktiraf kepimpinan Anwar maka krisis kepimpinan PKR tidak akan bergerak ke arah yang lebih kronik.
Dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mengesahkan PKR tidak terbelah dua dan mustahil kemelut itu akan memecah-belahkan Pakatan Harapan sebagaimana yang diinginkan oleh pembangkang.
“Atas semangat ini, kami yang mewakili 198 ketua cabang PKR seluruh negara melebihi 90 peratus terpanggil untuk menyatakan sokongan padu kepada Anwar untuk memacu dan memimpin parti dalam meneruskan idealisme perjuangan reformasi serta menjadi tonggak utama PH.
“Kami juga komited mendukung Anwar untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan seperti yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan PH menjelang PRU14, Mei tahun lalu,” ujarnya.
Ketika mengulas apa yang berlaku dalam parti itu baru-baru ini, Amin bagaimanapun mengakui semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu.
“Bagi saya semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu, cuma apabila ketua-ketua cabang tampil menyatakan sokongan ini bukti tidak ada pertikaian dalam KEADILAN.
“Jadi, sidang media hari ini untuk tunjukkan bukti bahawa tidak ada perpecahan, yang ada mungkin perbezaan pendapat, ini kenyataan selari,” tambahnya lagi. – RF8 Media