PENDEKATAN BARU ANWAR DIAKUI TERBAIK OLEH DAIM


Ketika Anwar Ibrahim minggu lalu menekankan perlunya dasar baru ekonomi diperkenalkan iaitu berdasarkan keperluan dan bukan lagi berasaskan kaum, ramai yang mengecam kononnya beliau mahu menghapuskan semangat DEB.
Kononnya, pendekatan itu menunjukkan Anwar tidak lagi mementingkan orang Melayu dan mahu mengamalkan dasar ekonomi yang sama rata.
Serentak dengan itu, ada juga yang menilainya tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Kata mereka, seorang pemimpin, apa lagi sebagai bakal Perdana Menteri, Anwar sewajibnya mesti mengutamakan kepentingan orang-orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini.
Sebetulnya, jika kita faham, dasar ekonomi berasaskan keperluan lebih membela, bukan saja orang Melayu, tetapi juga bangsa lain yang miskin dan memerlukan.
Siapa saja yang miskin dan memerlukan, merekalah yang berhak dibela dan dibantu tanpa menggunakan retorik perkauman seperti era BN sebelum ini.
Hari ini Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin turut senada dengan Anwar bahawa hanya dasar ekonomi berasaskan keperluan merupakan penyelesaian terbaik untuk masa depan negara.
Kata beliau, sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan pendekatan baru, segar dan benar-benar dapat mengubah kehidupan mereka yang selama ini tidak memperoleh manfaat daripada pembangunan negara.
“Kerajaan perlu mengambil kira dan mendekati dilema Bumiputera dengan perspektif baharu untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat bahagian saksama daripada kemakmuran negara.
“Apa-apa dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan perlu memberi keadilan kepada semua,” kata beliau.
Maksud keadilan di sini tentunya bermakna mereka yang miskin dan memerlukan lebih diberi perhatian dan bantuan berbanding mereka yang lebih mampu serta berkeupayaan.
Dengan pendirian senada Tun Daim yang merupakan orang kanan kepada Tun Mahathir Mohamad terhadap pendekatan Anwar itu, ia dengan sendirinya bermakna bakal peneraju masa depan negara kita adalah suatu pilihan yang tepat.
Rakyat sudah boleh membayangkan pembelaan yang sewajarnya dan segar apabila Anwar mengambil alih teraju kerajaan nanti. (Shahbudindotcom 05/08/2019)

No comments: