Najib mesti jawab isu beli berlian – Lim Kit Siang
Banyak perlu dijawab bekas perdana menteri Najib Razak terutama berkaitan tuduhan rasuah dan dakwaan pengubahan wang haram terhadapnya, kata ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang.
Antaranya, Lim menyebut mengenai dakwaan ahli perniagaan kontroversi, Deepak Jaikishan semasa wawancara dengan Al Jazeera, bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor membeli barangan berlian sebagai satu cara untuk “menyedut” wang.
Deepak juga mendakwa Rosmah bertindak seperti “perdana menteri de facto” ketika Barisan Nasional berkuasa dan menyatakan Najib memberikan barangan kemas, wang, hartanah dan kereta kepada Rosmah sebagai balasan kepada kontrak kerajaan yang menguntungkan.
“Berlian, terutama yang mahal, yang tidak ternilai harganya, ia cara mereka simpan duit mereka. Ini cara mudah baginya untuk menyedut wang dan simpan di tempat yang sangat mudah.
“Mereka tidak pernah membayangkan mereka akan kalah pilihan raya. Mereka tidak pernah membayangkan polis akan menyerbu rumah mereka,” kata peniaga permaidani itu ketika wawancara pagi ini.
Rosmah kini menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan satu lagi dakwaan rasuah berkaitan projek pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
Deepak, bekas rakan Najib dan Rosmah, sebelum ini mendakwa bertindak sebagai proksi bagi kedua-dua mereka dalam beberapa urusan perniagaan.
Beliau dikatakan mendakwa membayar RM13 juta untuk membeli beberapa barangan kemas untuk Rosmah pada tahun 2008 dan 2009, walaupun beliau menafikan memberikan dokumen sedemikian kepada ahli politik pembangkang ketika itu.
Najib dan Rosmah secara konsisten menafikan sebarang salah laku, termasuk dakwaan mereka membeli berlian, barangan kemas lain dan barangan mewah menggunakan wang yang dikaitkan dengan 1MDB.
Kerajaan baru-baru ini memfailkan dua saman pelucuthakan terhadap mereka dan beberapa yang lain untuk merampas barangan mewah bernilai RM711 juta, termasuk 27 kereta mewah dan harta benda dari individu-individu tersebut.
Deepak sebelum ini memfailkan saman RM676 juta terhadap Najib dan Rosmah, bersama dua syarikat lain – Boustead Holdings Sdn Bhd dan anak syarikatnya Bakti Development Wira Sdn Bhd – atas tuduhan berkonspirasi dan campur tangan dalam rundingan hartanah yang dikatakan menyebabkan syarikat Deepak rugi besar.