BUKU MENJELANG PERALIHAN KUASA KEPADA ANWAR


Dengan setahun memegang jawatan itu, bermakna ada setahun lagi sebelum tempoh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagai yang telah dijanji dan dipersetujui.
Ada tiga janji yang diputuskan dan dipersetujui sekiranya PH menang PRU14 – 1. Membebaskan Anwar daripada penjara, 2. Memohon pengampunan baginya daripada Yang Dipertuan Agong dan 3. Menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh sementara Tun Mahathir memegang jawatan tersebut.
Dua janji telah pun dipenuhi tidak berapa lama selepas PH berjaya menguasai Putrajaya dan hanya janji peralihan kuasa masih dalam penantian semua pihak kerana Tun Mahathir sendiri menyebut beliau memerlukan tempoh dua tahun untuk memulihkan ekonomi dan menyelamatkan negara.
Begitu pun, proses peralihan itu itu masih menjadi misteri dan tanda tanya berikutan tiada tarikh khusus ditetapkan mengenainya.
Tun Mahathir pula selalu menyebut tempohnya menjadi Perdana Menteri “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang”.
Beliau juga pernah mengusik Anwar sambil berkata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun setengah.”
Baru-baru ini pula Tun Mahathir membayangkan beliau mungkin memerlukan tiga tahun menjadi Perdana Menteri.
Pokoknya, segala-galanya masih misteri dan teka-teki.

Maka, sempena setahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan setahun sebelum peralihan kuasa itu, saya dengan suci hati menerbitkan sebuah buku bertajuk Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati.
Buku ini bukan untuk memberi tekanan atau membuat desakan, tetapi lebih dengan tujuan agar ketidaktentuan mengenai peralihan kuasa itu segera diselesaikan.
Ia antara lain menggariskan agar janji penyerahan kuasa tidak sesekali cuba dimungkiri bagi mengelakkan berlaku perpecahan dalam PH dan yang paling penting agar Tun Mahathir dapat segera menetapkan tarikh pengundurannya sebagaimana yang pernah dilakukannya ketika menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Badawi pada 2003 dahulu.
Hanya dengan parti-parti dalam PH dan Tun Mahathir tetap berpegang kepada janji dan Tun Mahathir dapat menetapkan tarikh khusus berkenaan penyerahan kuasa kepada Anwar saja, maka segala-segalanya akan selesai dan “hantu-hantu raya politik” tidak lagi merayau-rayau mencipta pelbagai cerita, andaian serta spekulasi.

Buku ini sudah mula dijual di kedai-kedai buku di seluruh negara atau boleh juga membelinya secara online dengan menghubungi nombor telefon yang tertera pada poster yang disiarkan dalam blog ini.
Kepada penyokong PH yang mahu gabungan ini terus kekal, marilah kita sama-sama memastikan gabungan ini sentiasa kukuh dengan janji tidak dimungkiri dan peralihan kuasa mesti dijayakan dengan lancar, harmoni dan muktamad. (Shahbudindotcom 11/05/2019)

No comments: