Beri PH 5 tahun kotakan janji sebelum tuduh ‘kencing rakyat’
Genap setahun Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan mengejut dalam Pilihanraya Umum Ke14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang mengubah landskap politik di Malaysia buat selama-lamanya. Namun begitu terdapat ramai rakyat yang mula merungut kononnya Kerajaan PH gagal menepati janji-janji manifesto mereka.
Namun bagi majoriti rakyat, mereka faham keterbatasan PH untuk menunaikan janji. Pengambilalihan kerajaan pusat tidak sama dengan pengambilalihan Selangor atau Pulau Pinang yang kaya pada 2008. Janji manifesto boleh ditunaikan dengan mudah di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurut seorang pemilik kedai barang elektronik yang hanya mahu dikenali sebagai Prakash, menetap di Kepong Baru Kuala Lumpur, kerajaan PH perlu diberi lebih banyak masa untuk membuktikan kemampuan mereka sebelum dicaci ‘kencing rakyat’
“Kerajaan PH mewarisi satu pentadbiran yang hampir muflis. Justeru itu, untuk hari pertama PH masuk kerja, mereka telah mula dengan keadaan kewangan sifar.
“Adalah amat sukar untuk mentadbir dalam keadaan seperti ini dan satu tahun tidak boleh mengubah situasi tersebut walaupun sekarang wang 1MDB yang telah disonglapkan sedang beransur-ansur kembali ke negara kita.
“Semua orang harus faham bahawa sebuah kerajaan yang tiada wang tidak boleh berfungsi dengan sempurna dan Kerajaan PH adalah mangsa situasi sebegini. Kita wajar memberi Kerajaan PH 5 tahun untuk mengatasi satu masalah yang telah wujud selama 60 tahun di mana negara Malaysia hanya dipimpin oleh sebuah mantan kerajaan yang telah buat sesuka hati mereka.
“Kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang berprinsip dan beretika dan jika rakyat masih tidak mahu menyokong Kerajaan PH, maka rakyat Malaysia adalah rakyat yang terbodoh sekali di dunia sebab semua orang di dunia inginkan sebuah kerajaan yang berprinsip dan beretika,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Prakash bagaimanapun berharap bahawa iklim perkauman yang semakin dinaikkan suhunya oleh pihak pembangkang tidak akan memecah-belahkan masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum dan agama.
“Semangat muhibbah dan hormat-menghormati di antara kaum adalah satu faktor yang akan menjamin kejayaan Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa. Jika terdapat perselisihan kaum, maka negara akan tumbang.
“Oleh kerana itu, saya menggesa Kerajaan PH supaya mengambil tindakan serius serta-merta terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu perkauman kerana orang-orang sebegini adalah pengkhianat dengan niat mereka yang jahat untuk merosakkan keharmonian dan kedamaian negara,” katanya lagi.
Prakash juga berpendapat kalau Kerajaan PH tidak bertindak dengan tegas dalam isu perkauman maka peluang Kerajaan PH dalam PRU15 untuk mencapai kemenangan mungkin akan menghadapi kesukaran dan kedudukan PH mungkin tergugat di negeri-negeri di mana kemenangan mereka adalah tipis di Dewan Undangan Negeri.