RCI Memali perlu siasat sekali Amanat Haji Hadi


KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Pemuda Amanah hari ini mempersoalkan sama ada PAS berani untuk menuntut suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat tragedi Memali secara menyeluruh, merangkumi aspek punca serta elemen asas terjadinya peristiwa berdarah itu.
Persoalan itu dibangkitkan Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Ithnin, memandangkan pihak kerajaan sebelum ini telah membentangkan Kertas Putih berhubung kejadian itu di Parlimen pada 1986 yang antara lain menyentuh mengenai peranan ‘Amanat Haji Hadi’ terhadap tragedi itu.
“Menurut perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih tersebut, tragedi Memali dipercayai berakar daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Haji Hadi’, merujuk kepada pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981.
“Bahkan lebih spesifik dalam perenggan ke-17, Muhamad Yusof bin Husin mengakui bahawa dirinya berpegang teguh dengan amanat itu dan berfahaman bahawa orang-orang UMNO itu kafir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hadi Awang yang mendesak agar RCI berhubung tragedi yang berlaku pada 1985 dan meragut 14 nyawa orang awam dan empat anggota polis di Memali, Kedah itu.
Pemuda Amanah, katanya, berpendirian bahawa siasatan berkenaan – jika dijalankan – perlulah meliputi aspek penting antara lain mengenai kesan ‘Amanat Haji Hadi’ terhadap tragedi berkenaan dan punca yang menyebabkan fenomena takfiri (kafir-mengkafir) merebak.
Selain itu, katanya, siasatan itu juga perlu menjawab persoalan mengenai punca yang mendorong kepada arahan penangkapan Ibrahim Libya, keganasan yang dilakukan pihak polis ketika itu selain langkah yang diambil kerajaan bagi membendung kegiatan takfiri.
“Besar harapan Pemuda Amanah agar RCI ini mampu meleraikan segala kekusutan dan tidak akan dibangkitkan lagi. Sejarah adalah tentang keteladanan dan iktibar daripada satu-satu peristiwa,” tambah beliau.

No comments: