PAS termakan perangkap UMNO lagi, main isu Memali pula – Tengku Zulpuri


MENTAKAB, 23 OGOS: Situasi kehilangan sokongan akar umbi menyebabkan PAS terpaksa memainkan sentimen kaum dan agama untuk mengembalikan semula sokongan terhadap parti itu, kata Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilapor media baru-baru ini yang membangkitkan isu kepimpinan Melayu dan Islam.
Dalam kenyataannya, Hadi berkata kepimpinan ‘kaum dominan’ haruslah diambilkira menjadi tonggak kepimpinan negara meliputi jawatan kehakiman, keselamatan dan sebagainya.
Namun, Hadi gagal menjelaskan konsep kepimpinan dalam konteks Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan perlu berteraskan amanah, integriti dan keadilan.
“Dalam suasana rakyat tidak lagi mempercayai PAS, isu-isu Melayu dan agama akan di mainkan.
“Hadi akan menggunakan apa sahaja untuk menyakinkan akar umbinya supaya apa yang diperjuangkan PAS di eranya adalah betul dan adalah perjuangan Islam yang sebenar,” kata Adun Mentakab itu.
Tengku Zul yang juga Ketua Pembangkang Pahang berkata, keterdesakan politik UMNO dan PAS yang dilihat sangat ketara saat ini menyebabkan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama.
Kerjasama UMNO-PAS itu katanya termasuk tindakan PAS yang dilihat ‘bekerjasama’ dengan UMNO membangkitkan semula isu Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu.
“UMNO kini menggunakan PAS untuk memainkan semula isu Memali kerana mungkin mereka telah sedar umbi mereka tidak memihak kepada mereka lagi.
“Tiada jalan lain untuk menagih simpati daripada akar umbi PAS supaya mereka berdendam dengan Tun Mahathir kononnya telah ‘membunuh’ orang yang tidak berdosa.
“Isu perkauman dan agama penting untuk mereka (UMNO) terus berkuasa malah saya tidak menolak kemungkinan wujudnya cubaan menangkap pemimpin pembangkang seperti DAP yang didakwa pelbagai dakwaan,” ujar beliau.
Kerjasama tersebut katanya lagi merupakan ‘perangkap’ kepada PAS memandangkan UMNO dan kepimpinan Najib Razak sedang berhadapan dengan dakwaan penyelewengan puluhan bilion ringgit membabitkan dana pelaburan negara 1MDB

No comments: