HARAPAN tidak akan ikut gaya BN bangunkan kawasan luar bandar Johor


JOHOR BAHRU, 23 OGOS: DAP dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan meniru cara kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan kawasan luar bandar, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim.
Ini kerana, katanya, daerah Pengerang di Kota Tinggi, Johor, sebagai contoh, dibangunkan secara sambil lewa oleh kerajaan BN sehingga industri pengeluaran udang kara yang terkenal di kawasan luar bandar itu merudum dan terjejas.
“Kawasan luar bandar yang menghijau seluas 22,500 ribu ekar, kini bertukar menjadi kawasan asing khususnya bagi penduduk asal Pengerang yang telah mendiami kawasan tersebut sejak ratusan tahun dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, katanya, projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang yang melibatkan pelaburan berjumlah RM60 bilion dengan pendapatan berjumlah RM250 juga hanya “indah” di atas kertas ekoran prestasi tidak menentu industri petroleum.
“Jika dilihat pada impak projek ini kepada penduduk, rupa-rupanya ia hanya indah khabar dari rupa. Penduduk yang dijanjikan dengan pelbagai peluang pekerjaan dan kediaman yang lebih selesa, hanya tinggal janji.
“Majoriti para nelayan, hanya mendapat bantuan kerajaan negeri sebanyak RM1,000 setiap kali menjelang hari raya aidilfitri, pada masa yang sama punca pendapatan mereka sebagai nelayan telahpun hilang selama-lamanya,” ujarnya.
Kata Mahdzir, janji untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Pengerang juga tidak dilaksanakan kerajaan BN apabila buruh dari negara luar diambil untuk bekerja.
“Janji kerajaan untuk menyediakan kediaman baru, rupa-rupanya penduduk kampung kena beli rumah yang dijanjikan tersebut, bukan percuma.
“Wang untuk membeli rumah tersebut, datangnya dari hasil pampasan penjualan tanah orang kampung dengan harga yang murah. Bertambah payahlah nasib penduduk kampung,” ujarnya.
Tambahan pula, katanya, rumah yang dibina bagi penduduk di kawasan luar bandar tersebut tidak disiapkan dengan sempurna dan tidak mengikut masa yang ditetapkan.
“Sejak tahun 2015, terdapat kes yang dilaporkan oleh media bahawa beberapa pemilik rumah dari kalangan penduduk kampong yang datang dari 8 kawasan Pengerang yang baru mendiami rumah tersebut menghadapi masalah apabila rumah baru itu retak dan pecah-pecah.
“Ini amat berbeza dengan kediaman komersil dikawasan sekitar yang cukup mahal harganya, tidak mampu dibeli oleh para penduduk asal Pengerang,” ujarnya.
Mahdzir berkata, DAP tidak mempunyai agenda yang serupa seperti kerajaan BN dalam membangunkan kawasan luar bandar.
“Kami tidak sanggup membangunkan kawasan luar bandar dengan cara sedemikian.
“Sebaliknya, DAP dan rakan-rakan parti HARAPAN, PPBM, PKR dan Amanah akan bersama-sama membangunkan kawasan luar bandar dengan cara yang lebih berhati-hati.
“Ia adalah dengan cara memastikan kelestarian alam berkekalan, kebudayaan serta warisan dipelihara dan kehidupan desa yang lebih nyaman dan terus terbela disamping impak ekonomi yang lebih mapan dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menuduh DAP dan parti komponen HARAPAN  tidak akan mengutamakan pembangunan luar bandar jika berjaya merampas Putrajaya kelak.