Pemimpin Amanah tawar diri jadi saksi RCI Memali
Pemimpin-pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) menawarkan diri untuk memberi keterangan dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985.
Timbalan presiden parti itu Salahuddin Ayub berkata pihaknya menyambut baik siasatan tersebut bagi memperkasakan amalan demokrasi di negara ini.
“Saya dan kami (AMANAH) bersedia memberikan keterangan kepada RCI jika dipanggil kerana ia adalah forum terbaik untuk menghuraikan kekeliruan rakyat berhubung isu tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur.
Bekas naib presiden PAS yang berpaling tadah itu berkata AMANAH berharap RCI Memali dapat ditubuhkan secepat mungkin.
Hadir sama dalam sidang media itu Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Anuar Tahir, Pengarah Komunikasi Khalid Samad dan ketua Wanita AMANAH Dr Mariah Mahmud.
Kebanyakan pemimpin-pemimpin kanan AMANAH ketika kejadian bergiat dalam parti lama mereka, PAS.
Mereka menubuhkan AMANAH sebagai sebuah parti Islam baru selepas ditolak beramai-ramai dalam pemilihan PAS sebelum ini.