Isu Memali: Pemuda AMANAH sedia berdebat dengan Zuhdi


Cabaran debat yang dilaungkan pimpinan Pemuda Pas Selangor, Mohamad Zuhdi Mat Piah kepada Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berhubung tragedi Memali disahut Pemuda AMANAH Nasional.
Naib Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin, (gambar  atas kiri) berkata, keputusan yang diambil itu bertujuan untuk merungkai polemik lebih tiga dekad tragedi Memali dan membuka ruang wacana merentasi idealisme politik.
" Walaupun cabaran asal Zuhdi diajukan kepada Tuan Haji Salahuddin Ayub, posisi Zuhdi sebagai pimpinan Pemuda Pas Selangor itu dikira memadai untuk saya, salah seorang pimpinan Pemuda AMANAH Nasional bergelanggang dengan beliau di pentas terbuka bagi berhujah secara matang dan sejahtera," ujarnya dalam kenyataan.
Menurut Shazni lagi beliau hanya meletakkan satu syarat sekiranya debat itu dipersetujui oleh Zuhdi  mesti diadakan secara terbuka menerusi stesen televisyen.
"Debat diadakan secara terbuka di mana-mana lokasi stesen televisyen bagi tujuan siaran langsung.
"Sekiranya Zuhdi bersetuju, untuk urusan teknikal lainnya pihak beliau boleh berhubung dengan Eksekutif Pemuda AMANAH Nasional Haziq Hanizat di Wisma Amanah Negara." ujarnya.
Semalam menerusi satu ulasan yang ditulis Zuhdi di portal Malaysiakini beliau telah mencabar Salahuddin untuk bertanggungjawab dengan kenyataan dibuat Salahuddin sebelum itu berkaitan Memali.
Ini kerana beliau tidak berpuashati dengan kenyataan Salahuddin yang mendakwa 'Pas mempolitikan isu Memali' apabila Pas mencadangkan berkaitan penubuhan Jawatankuasa Siasatan DiRaja (RCI).
Zuhdi turut berkata, Salahuddin boleh pilih mana-mana kawasan di Kedah, atau lebih afdal di Baling ujarnya, yang mana Kampung Memali terletak di kawasan Baling.
Dalam pada itu Salahuddin masih lagi  tidak memberikan sebarang respon terhadap cabaran Zuhdi  untuk berdebat dengannya.

No comments: