Muktamadkan rundingan dengan Pas, PRU hampir – Rafizi
PKR sepatutnya memuktamadkan sikap parti itu terhadap cubaan bekerjasama dengan PAS, kata salah seorang pemimpin kanan parti itu hari ini.
Menegaskan ia perlu dibuat segera Rafizi Ramli berkata jika melihat keadaan semasa, perbezaan pandangan antara pemimpin PKR di pelbagai peringkat tidak akan bertemu titik penyelesaian.
Oleh itu, katanya, beliau akan menggerakkan rundingan dengan seberapa ramai pemimpin PKR bagi mencari persetujuan mengenai pendirian muktamad parti itu dengan PAS serta komitmen terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Keputusan sebesar ini hanya boleh dimuktamadkan dengan mengambil kira suara akar umbi PKR yang lebih besar, bukannya diputuskan oleh beberapa kerat pimpinan kanan parti semata-mata,” katanya.
Kenyataan Rafizi itu dibuat selepas ada pemimpin PKR mengakui sedang mengakui wujud perbincangan antara parti itu dengan PAS.
Bagaimanapun Datuk Seri Azmin Ali menegaskan perbincangan itu berlangsung secara tidak rasmi bagi mencari titik pertemuan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 berlangsung.
Memetik kenyataan timbalan presiden PKR itu Malaysiakini melaporkan Azmin sebagai berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk pembangkang membentuk kerajaan menggantikan BN.
“Matlamat utama kami ialah mengetepikan BN. Justeru mana-mana parti politik yang bersedia untuk meletakkan agenda reformasi dan menyelamatkan negara (sebagai keutamaan), kami bersedia untuk berbincang,” katanya pada 14 Ogos lalu.
PKR dan PAS pernah menjadi rakan sekutu secara rasmi selepas PRU ke-12 lalu dengan terbentuknya Pakatan Rakyat. Satu lagi anggota gabungan itu ialah DAP.
Namun selepas PRU ke-13 hubungan PAS dengan DAP menjadi tegang dan akhirnya berpatah arang. Kumpulan yang cenderung kepada usaha berbaik-baik dengan DAP pula disingkir secara besar-besaran daripada PAS.
Mereka kemudian menubuhkan Parti Amanah Negara.
Kerjasama PKR – PAS sempat bertahan seketika sebelum terkubur secara rasmi selepas muktamar ke-63 parti berkenaan Mei lalu.
Bagaimanapun di sebalik tamatnya kerjasama politik itu perkembangan di peringkat bawahan tidak sekata. Ketika sebahagian daripada pemimpin parti berseteru, sebahagian yang lain pula dilihat masih mesra.
Untuk rekod PAS melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh iaitu kawasan sangat signifikan kepada perjuangan reformasi PKR.
PAS juga secara terbuka menyatakan mahu merampas pelbagai kerusi parlimen serta dewan undangan negeri yang kini diwakili PKR, termasuk Gombak yang dimenangi Azmin dan Batu – kini diwakili naib presiden parti itu, Tian Chua.
Pemerhati pula percaya Biro Politik PKR kini terbahagi kepada dua kumpulan, dengan satu pihak enggan bekerjasama dengan PAS manakala satu lagi bersikap sebaliknya.
Langkah mahu terus berbaik-baik dengan PAS itu turut mendorong salah seorang anggota biro terbabit, William Leong, mengumumkan peletakan jawatannya pada 23 Ogos lalu.
Kata Rafizi, sebelum ini beliau memberi ruang kepada pemimpin lain dalam PKR cuba menjayakan rundingan dengan PAS.
Pada masa sama, katanya, beliau bincang langkah itu sebaliknya akan menyebabkan PKR dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri sendiri.
Pada masa sama, katanya, beliau bincang langkah itu sebaliknya akan menyebabkan PKR dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri sendiri.
Katanya, walau apa pun kaedah yang akan digunakannya untuk mendapatkan sokongan akar umbi, komitmen PKR terhadap HARAPAN serta sikap mereka dengan PAS perlu diputuskan dengan jelas secepat mungkin.
“Kerjasama dengan PAS dan komitmen kepada HARAPAN perlulah dimuktamadkan pada masa terdekat, dan bukannya dibiarkan “terbuka” (open ended) seperti sekarang,” katanya