Kerjasama PRU 14: Zuraida, Pas bukannya bodoh
Kenyataan media bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa strategi meneruskan rundingan antara PKR dan Pas adalah berujuan untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelihatan lucu.
Penyokong Pakatan Harapan melihat Pas bukanlah kuasa yang digeruni lagi di negeri Utara, Pantai Barat dan Selatan Semenanjung. Apatah lagi dengan penubuhan Bersatu yang telah berjaya memecahkan kubu-kubu Umno.
Maka untuk PKR meneruskan kerjasama dengan Pas tentulah sesuatu yang pelik. Bagaimanapun, bagi Zuraida, alasan beliau ialah rundingan tersebut dilakukan bukan untuk semua kerusi tetapi ke atas kerusi tertentu yang cukup untuk menumpaskan BN.Khususnya kerusi parlimen, PH memerlukan 130 kerusi untuk membentuk kerajaan simple majority. Begitulah hujah Zuraida.
Namun adakah hujah itu masuk akal selepas Pas beberapa kali melalui kenyataan Naib Presidennya Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Dr Khairuddin Aman Razali yang menolak mentah-mentah rundingan pembahagian kerusi?
Sangat bahaya
Pas lewat kenyataan Pengarah Dewan Penyelidikan Pas Pusat Dr Zuhdi Marzuki membayangkan keseriusan parti itu untuk menjadi broker kuasa menjelang PRU 14. Menurut Zuhdi, Pas mahu menjadi King Maker. Mendapat sejumlah kerusi parlimen dan kemudian tawar-menawar dengan BN atau PH, siapa yang memberi nilai terbaik maka Pas akan bekerjasama membentuk kerajaan.
Hujah Zuraida amat merbahaya dalam situasi Pas mahu menjadi broker kuasa. PH boleh membuka laluan kepada parti itu untuk bertanding dan menang di beberapa kawasan parlimen terpilih yang PH tidak akan meletak calon tetapi jika Pas menang dan mereka tawar menawar dengan BN siapakah yang akan rugi?
Inilah yang dikatakan oleh orang Melayu sebagai ‘berputih mata’. PH yang berkorban memberi laluan kepada Pas, selepas menang mereka menyeberang menyokong BN. Memang Zuraida boleh mempengaruhi pemimpin Pas Selangor yang pro PH misalnya seperti Iskandar Samad, Zaidy Talib, Yunus Hairi dan sebagainya. Tetapi mereka tidak akan berani mengangkat muka menghadapi Presiden Hj Hadi Awang.
Presiden pula lebih dipengaruhi oleh Dr Zuhdi, Nik Abduh, Nik Amar dan sebagainya yang benci kepada DAP dan Amanah. Dalam logik akal, adakah Hadi akan memilih PH untuk rakan kerjasama atau berta’awun dengan BN?
Pas masuk BN
Lebih baik Hadi mengarahkan ahli parlimen dan ADUN Pas membentuk kerajaan campuran bersama BN yang kaya raya. Negeri Kelantan misalnya boleh dibangunkan dengan lebih cepat. Hari ini pun, Pas boleh pejam sebelah mata atau kedua-dua belah mata melihat kleptokrasi Najib dan sanggup hadir menyokong Najib dalam banyak majlis melalui slogan ‘politik matang dan sejahtera’. Tentulah tidak sukar membayangkan Pas akan membentuk kerajaan campuran dengan BN atas nama kematangan.
Masalahnya, dalam Pas hari ini tidak ada sesiapa pun yang boleh menegur Hadi salah dalam apa jua ijtihad. Ahli dan pimpinan Pas yang lebih rasional jalan perjuangan mereka telah pun diterajang keluar. Pemimpin yang tinggal adalah walak membabi buta dan sanggup mengikuti Hadi sehingga ke dalam jurang.
Mengarut jika Zuraida boleh menjamin Pas tidak akan membentuk kerajaan campuran bersama BN. Lebih teruk lagi jika Zuraida tidak mampu memberi apa-apa jaminan. Hanya memberi cek kosong kepada parti itu yang tentu sekali melanggar dasar kerjasama dalam PH.
Lebih baik PH berlawan secara tiga penjuru menentang Pas dan BN. Sekiranya kalah maka kekalahan tersebut lebih mudah diterima penyokong dan rakyat daripada memberi laluan kepada Pas memperjuangkan agenda anti rasuah dan menolak Najib tetapi kemudiannya Pas masuk kelambu BN.
Kepada Zuraida, lebih baik beliau mencontohi ahli parlimen Selayang William Leong yang tidak bersetuju rundingan Pas – PKR dengan menolak bertanding mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya. Rakyat Ampang sudah ‘terlalu lama’ bersama Zuraida. Tibalah masa muka baharu menggantikan tempat beliau.
Jika Zuraida bermaruah seperti William maka elok beliau mengambil sikap MP Selayang itu dan tidak lagi mempertahankan kerusi Ampang.
Sekiranya tidak, lebih baik Zuraida jangan menyibukkan diri berunding dengan Pas yang pastinya selepas PRU 14 cenderung kepada BN dan Zuraida sendiri akan disumpah seranah para penyokong beliau di Ampang, Selangor dan seluruh Malaysia.