Revolusi ‘mulut ke mulut’ mampu jatuhkan BN


Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 10 Feb: Jika rakyat mengamalkan 'revolusi mulut ke mulut' secara bermaklumat sudah memadai untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, ianya tidak payah menerusi revolusi Facebook sebagaimana yang menjadi amalan rakyat Mesir untuk menghukum presiden mereka, Hosni Mubarak.

"Kita di sini jika mengamalkan ‘revolusi mulut ke mulut pun’ dah memadai asalkan ia dilaksanakan secara agresif pasti Umno dan BN tumbang lama dah. Tapi masalahnya terutama orang Melayu tidak mahu buka mulut untuk menyedarkan pada orang lain walaupun tahu mereka dizalimi," terang beliau ketika berceramah di Permatang Tinggi 'C' malam tadi.

Revolusi tersebut, katanya walaupun nampak mundur tetapi amat berkesan kerana melalui percakapan ia membawa kepada kepekaan rakyat.

Tambahan pula, ujarnya rakyat sendiri sedang melihat kenaikan harga barangan seharian, kadar tol, petroleum dan sebagainya.

Tugas anggota Pakatan Rakyat, ujarnya ialah menyalurkan maklumat terkini kepada semua ahli dan pendukung supaya ia dibawa ke serata kampung, pinggir pekan, taman perumahan mahupun bandar supaya mereka memahami masalah yang dihadapi negara.

"Kumpulan yang sedar harus menyedarkan kumpulan yang mungkin kesedaran mereka masih jauh. Inilah tugas kita sebagai anggota masyarakat yang aktif menjalankan usaha melalui revolusi mulut ke mulut secara bermaklumat," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, satu lagi perkara yang harus diketengahkan kepada masyarakat ialah tentang penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang tidak membawa apa-apa keuntungan pada orang Melayu.

Penubuhan Teraju sambungnya, sekadar menonjolkan kebanggaan BN sahaja di saat akhir pilihan raya umum walhal semua orang tahu penubuhannya sekadarmembuka pekung di dada bahawa selama ini Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya gagal membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Pembubaran Kementerian Usahawan dan Koperasi di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun jelas membuktikan kerajaan tidak serius membantu kaum Bumiputera sedangkan kementerian tersebut merupakan satu kementerian yang ada menteri, timbalan menteri dan setiausaha kementerian," tambahnya.

Teraju kata beliau, hanya ada seorang CEO yang berfungsi mengawal semua yang berkaitan agenda ekonomi untuk orang Melayu yang tentunya kerja itu menjadi bertambah sukar dan mustahil berjaya melakukan pembaharuan ekonomi ataupun politik orang Melayu.


Bookmark and Share

Tolonglah, jangan "1Malaysia" lagi!

Adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri Malaysia dari UMNO untuk mentadbir negara dengan slogan. Bermula dengan "Bersih, Cekap dan Amanah" oleh Mahathir Mohamad, disusuli dengan "Work with me, not for me" oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan kini "Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" oleh Najib Razak. Slogan ini dilaungkan pada tempoh awal mereka mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan.

Tempoh pemerintahan Mahathir lebih panjang. Selain "Bersih, Cekap dan Amanah", dekad kedua pemerintahan beliau menyajikan satu lagi slogan, iaitu "Wawasan 2020". Oleh sebab wawasan ini melakar masa depan Malaysia yang bertunggakkan pembangunan ekonomi, ditambah pula situasi di mana kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di atas paras 8% setiap tahun sebelum kemelut ekonomi tahun 1997, maka "Wawasan 2020" telah menjadi buah mulut media - sehingga mewujudkan satu suasana untuk maju ke depan - dan "Bersih, Cekap dan Amanah" dilupakan begitu sahaja.

Sebagaimana yang sedia maklum, slogan semestinya lebih sedap diperdengarkan - ia bukan slogan seandainya tidak bersifat demikian. Slogan yang direka dengan halus biasanya sedap bunyinya - namun sering menerima tamparan sengit daripada realiti yang membingitkan. Misalnya, sementara slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" berkumandang di sisi telinga, skandal kewangan datang berpusu-pusu - skandal Bumiputra Malaysia Finance, MAMINCO, KWSP dan Makuwasa, Pan-Electric Industries, koperasi dan sebagainya. Malah, berlakunya pembunuhan pegawai penyiasat di Hong Kong - mayatnya ditemui di pantai - ketika menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance.

Saya tidak mengkaji sama ada slogan Mahathir dan Abdullah itu hasil kerja think-tank-nya selepas meneliti senario yang ada pada ketika itu, ataupun hasil kerja syarikat perunding yang dibayar dengan upah yang tinggi. Seingat saya tiada laporan dan perbincangan dalam aspek ini.

Namun, "Satu Malaysia" oleh Najib telah diperlihatkan umum sebagai hasil daripada syarikat perunding. Lebih malang, ia dikatakan meniru slogan "One Israel", produk daripada syarikat perunding. Lantas kesesuaiannya dipertikaikan kerana ia adalah produk tiruan dari negara lain, malah slogan ini memperlihatkan kekosongan dalam maknanya, dan saling bertentangan.

Pertama, seandainya "1Malaysia "dikatakan sebagai wawasan untuk menyatu-padukan seluruh rakyat, persoalan yang timbul adalah, apakah kita berada dalam keadaan berpecah belah sejak mencapai kemerdekaan? Keduanya, seandainya "1Malaysia" bertujuan untuk menghapuskan perbezaan antara kaum, apakah ia versi moden "Satu bangsa, Satu bahasa"? Seterusnya, jikalau "1Malaysia" adalah untuk menghapuskan perbezaan layanan di antara kaum, maka apakah dasar yang telah digubal kerajaan untuk tujuan tersebut?

Najib gagal merungkaikan 1Malaysia

Prestasi Najib yang tidak terserlah dalam kerjaya politiknya menonjolkan lagi kekosongan "1Malaysia". Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pernah menulis dalam kertas kerjanya pada tahun 2009:

"Apabila orang bertanyakan beliau (Najib) maksud konsep '1Malaysia', Najib gagal merungkaikannya dengan jelas. Beliau tidak mampu untuk mengaitkan konsep '1Malaysia'-nya dengan matlamat partinya untuk kerajaan yang bersatu. '1Malaysia' Najib tidak lain tidak bukan kelicinan pada bibir (slick concoction) mereka yang diupah dengan gaji yang tinggi." *1

Malah, dalam tulisan yang sama, Mohd Azizuddin Mohd Sani memetik artikel tulisan M.Bakri Musa - biarpun ditulis dengan berlapik, tetapi cukup untuk mendedahkan Najib yang sebenarnya.

"Ketika saya melayari laman Mahathir, Lim Kit Siang mahupun Anwar, saya tahu bahawa nada dan corak tulisan itu mencerminkan penulis sendiri. Namun, laman 1Malaysia.com tidak membuatkan saya untuk rasa sedemikian. Ia seolah-olah pandangan pihak ketiga, dan bukannya pandangan personal. Tujuan utama blogging adalah untuk meluahkan pandangan personal. Sesungguhnya, saya tidak mengharapkan Najib untuk menulis teks ucapannya sendiri. Beliau mempunyai hal yang penting untuk diuruskan, misalnya mentadbir negara ini. Namun, saya berharap beliau boleh memimpin penulis ucapannya, membaca teks muktamad-nya, dan menyunting jika perlu, supaya teks tersebut benar-benar mewakilinya, malah kelihatan seolah-olah tulisannya. Beliau perlu memahat sesuatu untuk dirinya."

Walau bagaimanapun, tiada pertikaian bahawa "1Malaysia" adalah ideologi dominan yang cuba diwujudkan Najib. Hubungan "hegemoni" yang diutarakan ahli falsafah Itali, Antonio Gramsci adalah hubungan pedagogic. Selain sekolah, sebagai medan penting untuk pedagogic (mengasuh), media, persatuan agama, malah nama bangunan dan lorong turut dipergunakan golongan pemerintah untuk bukan sahaja membuktikan, malah mengekalkan pendominasiannya.

Jika dilihat kepada slogan 1Malaysia, semua media tradisional tidak jemu-jemu untuk mengulangi propaganda, malah "Klinik 1Malaysia", "Kem 1Malaysia", "Pertandingan Lumba Kereta 1Malaysia" dan aktiviti yang pelbagai, dianjurkan untuk memahat "1Malaysia" ke dalam ingatan. Malah, pertubuhan sosial dan parti politik akan cuba sedaya upaya untuk menyelitkan slogan ini ke dalam kenyataan media mereka. Ia seolah-olah doktrin - cukup jelas cubaan untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai wacana hegemoni.

PR menyumbang untuk kejayaan Najib

Sungguhpun kosong dan cetek, namun cubaan Najib untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai hegemoninya telah berjaya separuhnya. Walaupun retorik yang tidak bermakna, tetapi berjaya memberi ilusi bahawa senario politik kesamarataan kaum akan menjelma dengan kemunculan Najib. Selain penguasaan jentera negara dan alat propaganda oleh kerajaan BN/Najib untuk menjayakan 1Malaysia, Pakatan Rakyat turut menyumbang tanpa disedari.

PR gagal mengetengahkan wacana alternatif untuk menangkis "1Malaysia", sehingga "1Malaysia" tidak tertanding. Pembentukan hegemoni tidak berjaya hanya dalam tempoh sehari dua, tetapi "revolusi yang berlanjutan". Wacana alternatif perlu wujud untuk mencabar hegemoni dalam medan pergelutan ideologi, supaya wacana hegemoni boleh dileraikan. Ketiadaan pesaing memberi kemenangan percuma kepada "1Malaysia".

Namun, apa yang harus menjadi muhasabah pemimpin PR adalah, mereka sering menyumbang untuk kejayaan Najib tanpa disedari. Sejak "1Malaysia" diketengahkan, ramai ahli politik PR, dari pemimpin akar umbi yang tidak berjawatan hinggalah ADUN mahupun ahli parlimen - malah Lim Kit Siang yang sudah puluhan tahun berkecimpung dalam politik - sering menyebut ayat "mengingkari semangat 1Malaysia", dalam kenyataannya yang mengkritik penyelewangan dan kelemahan kerajaan BN.

Misalnya, pada 12 Mei 2010, ketika Lim Kit Siang (gambar kiri) menyelar perhimpunan "Melayu Bangkit" yang dijadualkan berlangsung pada keesokannya; ketika Lim Kit Siang mengkritik dasar kerajaan untuk menghalang penubuhan persatuan agama selain Islam di sekolah pada 26 Julai; ketika Lim Kit Siang mengecam Utusan Malaysia pada 20 Ogos, yang melaporkan bahawa nama Yang Dipertuan Agong telah digantikan dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang ketika doa khutbah Jumaat dibacakan - semuanya menyelitkan ayat "membelakangi prinsip 1Malaysia" dalam kenyataannya.

Mereka menganggap itu sindiran terhadap Najib ketika berkata sedemikian. Pada hakikatnya, ia sebaliknya mengiktiraf keabsahan "1Malaysia" dan integriti Najib. Ketika ahli politik PR menyelar kesilapan kerajaan BN dengan "mengingkari semangat/dasar/prinsip 1Malaysia", mereka sebaliknya mengasingkan kesilapan ini daripada Najib. Ia menyampaikan mesej bahawa, Najib/"1Malaysia" adalah sesuatu yang betul/baik, cuma menteri kabinet, dan pegawai kerajaan tidak mematuhi/melaksanakan dasar Najib yang baik.

Dengan kata lain, segala-gala kesilapan ini bukan kesalahan Najib - walaupun sebagai ketua kerajaan, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Najib sebenarnya harus memikul tanggungjawab terhadap segala kesilapan kerajaan.

Bagaimana wacana hegemoni ini boleh gagal, apabila ahli politik veteran seperti Lim Kit Siang pun mendukung "1Malaysia" oleh Najib? Jadi, tolonglah, PR dan NGO yang sedar, jangan "1Malaysia" di sana sini lagi!

*1: Mohd Sani, M. A. (2009). The Emergence of New Politics in Malaysia: From Consociational to Deliberative Democracy. Taiwan Journal of Democracy, 5 (2): 97-125.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 28 Januari 2011.

Pulau Pinang anjur perarakan Maulidur Rasul


Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 10 Feb: Seperti biasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Majlis Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1432H/2011M bertempat di Padang Kota Lama pada 15 Februari ini bermula jam 7.00 pagi.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagaimana tahun lalu temanya tetap sama iaitu 'Wasattiyah Tunggak Kecemerlangan Ummah' yang menjurus kepada maksud melahirkan kesederhanaan dalam Islam.

Menurutnya, memandangkan program ini merupakan kesinambungan kepada program tahun lepas kebanyakan pengisianya tidak berubah, cuma individu yang terbabit sahaja yang berganti contohnya ceramah Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Sheikh Faisol Omar dari Jabatan Agama Islam Kedah dan persembahan nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010.

Katanya lagi, bacaan kitab Bidayat As-Sul Fi Tafdil Rasul selama dua hari berturut-turut di Masjid Negeri tetap disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang pada 12 dan 13 Februari.

Ia, tambahnya akan diikuti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil pada 14 Februari di Masjid Negeri bermula jam 7.00 malam yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 4,000 peserta pembarisan dijangka akan mengambil bahagian pada perarakan tahun ini yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta lain-lain.

Pada hari yang sama juga, katanya diadakan Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang di mana antara pengisiannya ialah anugerah khas Maulidur Rasul kepada personaliti yang mencipta nama peringkat negara dan antarabangsa, pelancaran Dana Wakaf oleh Yang Dipertua Negeri, ceramah Maulidur Rasul serta persembahan nasyid.

Katanya, kali ini juga Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) telah mengadakan jalinan kerjasama untuk menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 10 hingga 20 Februari di samping memperkenalkan Pameran Tamadun Islam pada 15 Februari di tempat yang sama.

"Dengan pemberitahuan ini tiada lagi mana-mana pihak mengambil peluang menghentam kerajaan negeri kononnya tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sepertimana kekecuhan di tahun lepas," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.

Daftar pengundi baru naik mendadak, diipercayai pengaruh spekulasi PRU13


KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pendaftaran pemilih baru pada suku terakhir 2010, melibatkan bulan Oktober hingga Disember, meningkat secara ketara sehingga mencecah 300,000 orang – dilihat dipengaruhi ‘demam’ spekulasi pilihan raya umum dan gerakan pendaftaran secara agresif oleh parti-parti politik.

Perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

“Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi,” kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said dalam satu kenyataan.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah permohonan baru kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.

Dalam kenyataanya hari ini Sabri berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga 15 Februari ini di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi harus menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.

“Dalam hal ini mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” katanya.

Beliau berkata, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C.

Kata Sabri, selain mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meningal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau perkhidmatan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” katanya.

“Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan kepada pemilih-pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka,” katanya.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan pemilih-pemilih terbabit didaftarkan di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau pun menukar lokaliti seseorang tanpa dipohon.

“Jika keadaan ini berlaku menjadi sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti dan maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR,” katanya.

Selain itu katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010,” katanya.

Merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bangsa

Hafiz Zainuddin


Dari sebuah sudut, kita akui Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas. Maksud saya bukan bebas berdemonstrasi. Sering, demonstrasi jalanan seboleh-bolehnya dikekang habis-habisan oleh kerajaan. Yang saya maksudkan bebas ini ialah setiap kaum di Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama dan budaya masing-masing. Berhimpun di hari Thaipusam, berarak beramai-ramai semasa Maulidurrasul, bebas melaungkan Azan, perarakan pesta Tanglung, membaling limau ke dalam sungai, bermain alat musik di kuil-kuil, membakar colok di tempat terbuka dan sebagainya.

Ya. Kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia telah dikecapi sebelum merdeka lagi. Cuma masyarakat Melayu sahaja yang sedikit kurang kebebasan. Saya teringat sebuah pernyataan dari lecture yang dibuat oleh Hishamuddin Rais (gambar kanan) dalam stand up comedy beliau sempena pelancaran Bersih 2.0. Bunyinya begini ".......The Chinese can change religion every three days. The 'Melayu' cannot change religion at all...". Ia kemudian disambut dengan gelak ketawa dan tepukan audien. Dalam lecture tersebut, beliau cuba menggambarkan situasi semasa yang dihadapi oleh kaum Tionghua dan Melayu di Malaysia.

Baiklah, kita ke Singapura. Suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai kemerdekaan (dari Malaya), urusan kebudayaan dan keagamaan disekat. Sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat "kecinaan dan keindiaan". Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi sebuah negara-bangsa. Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan. Lee Kuan Yew telah berjaya menyatukan kebudayaan Singapura. Lee Kuan Yew dilihat berjaya mengasimilasikan masyarakat Singapura. Kita boleh meletakkan Singapura sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya. Kita boleh berbangga kerana Singapura adalah jiran kita yang kuat memberi saingannya.

Kekangan pembentukan Negara Bangsa

Berbalik kepada Malaysia. Persoalan yang ingin saya lontarkan; apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia lebih separuh abad ini menjadikan kita saling faham memahami antara satu sama lain? Apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia sekarang ini mampu menjadi titik tolak kepada cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia?

Adakah kepelbagaian budaya ini sebagai kekangan pembentukan negara bangsa? Adakah kita sebagai rakyat Malaysia bersetuju memenuhi impian dan gagasan negara bangsa Malaysia? Paling penting, apakah makna negara bangsa ini buat kita? Semua persoalan yang di lontarkan ini bakal mengundang senyum sinis sesetengah pihak. Mungkin ada yang berpendapat penyatuan ini "Tidak mungkin berlaku sama-sekali".

Apakah maksud negara bangsa? Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Rata-rata kita mungkin bersetuju dengan saya. Pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia adalah sebuah jalan jauh berliku yang memerlukan keikhlasan semua pihak.

Mari kita lihat beberapa faktor cabaran di sebalik pembinaan negara bangsa di Malaysia. Pertamanya adalah disebabkan faktor kemajmukan kaum. Masing-masing mempunya identiti dan kebanyakannya menetap bersama komuniti masing-masing. Keduanya ialah agama, setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu. Melayu dengan Islam, Cina dengan Buddha, India dengan Hindu, Iban - Kadazan dengan Kristian dan sebagainya.

Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasikan dengan baik. Mereka boleh terdiri dari beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha. Ketiganya, disebabkan faktor ekonomi. Secara umumnya di Malaysia, kaum Tionghua dilihat mendominasi ekonomi manakala pada masa yang sama, Dasar Ekonomi Baru yang digunakan untuk membantu kaum Bumiputera dilihat gagal mencapai sasaran. Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata, akan wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati di kalangan kaum.

Selain itu kewujudan parti-parti politik berasas kaum dan suku yang menjadi duri dalam daging kepada pembentukan negara-bangsa. Parti-parti politik berasaskan kaum ini tidak lain tidak bukan sebagai penerus legasi penjajah British dengan konsep devide and rule (pecah dan perintah) mereka.

Sebelum kita melihat dengan lebih jauh. Saya ingin bertanya kepada anda. Sekiranya anda berketurunan Tionghua, apa pandangan anda terhadap orang Melayu, India dan masyarakat Dayak? Sekiranya anda berketurunan Melayu, apa pandangan anda terhadap orang Tionghua, India dan masyarakat Dayak? Dan begitulah soalan-soalan seterusnya. Apa pandangan anda? Pasti akan wujud pelbagai pandangan dan tanggapan yang berbeza berdasarkan pengalaman dan pergaulan masing-masing.

Saya mungkin boleh bersetuju dengan blogger A. Kadir Jasin (dan tolong jangan labelkan saya rasis) dalam tulisan beliau di Malaysia Today yang berkata "...Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah 'hak'. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka..." Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan oleh beliau.

Persoalan hak bukan sesuatu yang baru. Persoalan hak adalah persoalan yang sensitif. Tetapi; apabila bercakap mengenai "hak", Malaysia dan masyarakat Melayu, ada sessuatu yang saya ingin kongsikan. Apa yang dihadapi oleh "Melayu" sebenarnya adalah pertembungan tamadun. Ini bererti, tamadun Melayu di nusantara bertembung dengan tamadun yang suatu ketika dulu sebagai tamadun yang agung, kuat dan gemilang iaitu Tamadun China dan Tamadun India. Pembinaan tamadun ini melalui pelbagai proses kematangan sejak ribuan tahun dahulu dan mengecapi kemajuan tersendiri.

Sejarah kebudayaan dan kemajuan tamadun dari China dan India ini jauh lebih lama dari tamadun Melayu dan nusantara amnya. Malah ketamadunan Melayu dilihat banyak bergantung kepada kedatangan Islam sekitar kurun ke 11 hingga 13 dahulu dengan penemuan batu bersurat di Terengganu.

Kemasukan kaum Tionghua dan India membawa cara kerja dan budaya yang berbeza. Budaya cara kerja inilah merupakan sebahagian daripada batu loncatan untuk mengecapi kejayaan selain faktor penjajahan. Budaya kerja ini (dilihat dari masyarakat Tionghua) mampu memberi saingan dan meletakkan sesebuah kaum itu ke tahap tertentu dalam sesebuah negara. Buku "Rahsia Bisnes Orang Cina" tulisan Ann Wan Seng contohnya; mendedahkan rahsia bagaimana budaya kerja dan perniagaan masyarakat Tionghua diuruskan dan menguasai pasaran.

Saya telah bawa anda membincangkan perkara ini panjang lebar. Walau bagaimanapun hal ini wajar. Ia penting supaya kita mampu melihat bagaimana kebebasan berbudaya dan beragama-perjuangan hak-pertembungan tamadun ini saling berkait rapat dan memandu kita untuk mewujudkan negara bangsa.

Apa pentingnya merealisasikan cita-cita negara bangsa untuk Malaysia?

Tanpa usaha serius kerajaan dan rakyat Malaysia merealisasikan cita-cita negara bangsa ini, ia dikhuatiri bakal mengundang masalah besar kepada negara. Persaingan tidak sihat antara kaum akan sentiasa berlaku. Sekiranya tidak dibendung, ia akan menjadi lebih berbahaya ibarat bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup. Anak-anak kita akan sentiasa dihantui dengan prasangka-prasangka negatif dan berbaur kebencian. Saya ingi bertanya, adakah ini sihat untuk Malaysia?

Merealisasikan cita-cita negara bangsa bertujuan demi survival Malaysia untuk masa yang panjang. Keluar dari belenggu perkauman sempit yang telah lama diprogramkan. Isu perkauman cuma akan membawa masalah besar untuk kita dan generasi akan datang. Persoalan hak berbudaya-beragama-berekonomi tidak timbul jika wujud usaha keras mengintegrasikan masyarakat. Bukan tidak wujud usaha ini seperti gagasan 1Malaysia, masalah terbesarnya adalah pemacu gagasan 1Malaysia itu sendiri bersifat rasis dan konservatif!

Kewajaran Asimilasi?

Saya berani berkata bahawa masyarakat majmuk di Malaysia gagal diintegrasikan. Kita gagal berasimilasi! Asimilasi di Malaysia cuma berlaku pada makanan. Saya tidak melihat bahawa Instruksi Presiden Republik Indonesia nombor 14 tahun 1967 yang antaralain menghad kebebasan berbudaya dan beragama masyarakat Tionghua di Indonesia sebagai perkara yang wajar. Malah arahan ini adalah bertujuan untuk menghapuskan pengaruh komunis dari China.

Akan tetapi, "Inpres" ini berjaya mewujudkan sebuah negara bangsa Indonesia. Apakah arahan mahupun peruntukan undang-undang seperti "Inpres" ini wajar dilaksanakan Malaysia. Tidak. Samasekali tidak dan tidak mungkin berlaku. Sejarah telah meletakkan kita (Malaysia dan Indonesia) berada dalam situasi yang berbeza. Proses mengintergrasikan kaum harus dibuat mengikut acuan kita. Acuan Malaysia. Saya secara peribadi percaya Malaysia akan menjadi sebuah negara bangsa. Lalu satu lagi persoalan timbul. Adakah proses integrasi atau asimilasi ini akan memberi jaminan hak samarata dan adil untuk semua kaum di Malaysia kelak?

Kisah "pembebasan" di Memorial Lincoln

Saya ingin membawa sebuah contoh yang baik untuk persoalan ini. Saya ingin bercerita lagi. Di sebuah hari yang gemilang tahun 1963, terhimpun lautan manusia yang besar. Mereka berjalan, berarak dan menyanyi beramai-ramai dengan penuh semangat dan harapan. Mereka memegang sepanduk dan menyatakan sokongan. Mereka kelihatan gagah-berani untuk berubah. Yang tua bergandingan dengan yang muda manakala anak-anak kecil dipimpin tangan. Mereka terdiri dari lelaki-lelaki dan wanita-wanita di kalangan masyarakat kulit hitam dan kulit putih.

Memorial Lincoln telah menjadi saksi terhimpunnya kira-kira 250,000 rakyat. Inilah tarikh keramat titik tolak kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dan negara dari "perhambaan". Himpunan raksasa ini adalah tuntutan demi hak asasi manusia, maruah dan kesamarataan. Martin Luther King adalah wira Amerika! Pada hari ini bergembiralah seluruh negara! Ungkapan Martin Luther "I have a dream..." telah menjadi kenyataan.

I have a dream that one day this nation will rise up and live out the true meaning of its creed: "We hold these truths to be self-evident, that all men are created equal......I have a dream that one day on the red hills of Georgia, the sons of former slaves and the sons of former slave owners will be able to sit down together at the table of brotherhood.- Martin Luther King

Sekitar empat dekad selepas perhimpunan tahun 1963 itu, perjuangan untuk mendapatkan hak kesamarataan dan menentang diskriminasi kaum telah mencapai kemuncak. Kemenangan Barack Obama (gambar kiri) sebagai Presiden Amerika Syarikat telah membuka mata dunia bagaimana masyarakat minoriti kulit hitam dari Afrika ini telah mampu untuk memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat. Ia sesuatu yang tidak pernah tersangkakan oleh siapapun sebelum ini apatah lagi etnik "kulit hitam" cuma mewakili kurang 13% dari populasi Amerika. Ini sebuah natijah. Tembok perkauman terus melebur dalam meritokrasi dan semangat insani. Ia mendahului zaman. Sekarang, setiap individu di Amerika bebas mengejar impian dan mencapai kejayaan. Samaada mereka dari etnik Indian-Afrika-Yahudi-Cina-India-Arab-Kaukasia-Eropah dan sebagainya; masing-masing punya hak samarata!

Kita telah pun ketahui, perhambaan kulit hitam di Amerika suatu ketika dahulu telah membuka kepada perjuangan kumpulan minoriti kulit hitam menuntut kebebasan. Budaya dan sejarah Amerika terlalu jauh jika dibandingkan dengan budaya dan kaum di Asia tenggara khususnya di nusantara. Sejarah telah membentuk kita untuk bereaksi; Bagaimana penjajahan telah memainkan peranan dalam membentuk minda dan budaya politik tanah air. Saya menceritakan sejarah tahun 1963 di Amerika ini untuk memperingati detik itu dan membuka minda kita rakyat Malaysia agar dijadikan perbandingan dan kayu ukur.

Kebebasan berbudaya-beragama-berekonomi dan bersosial yang wujud di Malaysia hari ini harus dipandu ke arah proses pengintegrasian dan asimilasi untuk merealisasikan cita-cita negara bangsa. Justeru, pada masa yang sama, kerajaan harus memainkan peranan terbesar dalam mencari jalan penyelesaian keatas setiap permasalahan yang berlaku. Segalanya harus diubah. Good governance harus menjadi tunjang dalam pentadbiran. Dasar-dasar kerajaan yang dilihat gagal harus diperbaharui. Para koruptor harus diadili-pemulihan ekonomi dilihat sangat penting sebelum memulakan langkah pertama pembinaan negara bangsa.

Rujukan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Demographics_of_the_United_States
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Negara+Bangsa
http://malaysia-today.net/mtcolumns/from-around-the-blogs/37870-malaysia-tanah-pusaka-orang-melayu
Rustam Sani; Buku:- Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors 1993.

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

CALON MERLIMAU

Ketuanan Melayu Umno tidak laku kepada anak muda

Mohd Aizat Mohd Salleh


Apabila memperkatakan tentang ketuanan Melayu, maka kita akan bercakap mengenai hak orang Melayu. Hari ini banyak pihak begitu lantang menyuarakan berkenaan itu terutama daripada Umno dan NGO Pro-Umno.

Bagi anak muda, sesetengah mereka berasa tidak ada keperluan ‘terpekik-pekik’ seperti mana yang dilakukan sesetengah pihak. Mungkin kerana anak muda hari ini tidak tahu langsung, ataupun barangkali sudah faham benar.

Bagi anak muda, khususnya pasca-Merdeka yakni mereka yang lahir selepas Merdeka ataupun sepuluh tahun selepas merdeka, Ketuanan Melayu tidak boleh dipaksa kepada mereka untuk diperjuangkan.

Lebih lagi anak muda yang faham.

Sejarah

Bukan bermaksud anak muda ini gagal menghayati sejarah, jauh sekali ‘menderhaka’ perjuangan tokoh-tokoh Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Malah ada dikalangan mereka, walaupun tidak melaluinya (situasi perjuangan kemerdekaan), lebih menjiwai melalui penceritaan tokoh dan dokumentari.

Jika dahulu, pelajar dipaksa memahami sejarah melalui buku-buku teks sejarah yang kadangkala faktanya lebih berat sebelah yakni hanya memaparkan perjuangan tokoh Umno yang pro-penjajah. Mereka seumpama Dr Burhanuddin dilabel sebagai tokoh berhaluan kiri, walaupun beliau juga memperjuangkan kemerdekaan yang bersifat anti-penjajah.

Namun, anak muda hari ini, maklumat dan aksesnya lebih luas. Ada facebook, blog, e-book, wikipedia dan pelbagai lagi sumber maklumat untuk mengetahui sejarah.

Bahkan buku-buku sejarah orang Melayu yang bersifat analisis semakin banyak diterbitkan. Misalnya karya Dr Syed Hussin Ali bertajuk Melayu: Masalah dan Masa Depan dan The Malay Dillema karya Tun Dr Mahathir. Malah karya bertajuk Membina dan Meruntuh Malaysia yang ditulis oleh Datuk Ahmad Mustafa Hassan juga sebagai catatan sejarah berkenaan perjuangan Melayu era dahulu dan kini.

Tidak boleh tipu anak muda

Anak muda hari ini tidak lagi boleh ditipu dengan sejarah, apatah lagi ditipu dengan perjuangan menuntut Ketuanan Melayu.

Anak muda akan mempersoalkan dicelah manakah perjuangan Ketuanan Melayu, namun dalam masa yang sama hak mereka untuk mendapatkan biasiswa di dalam pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada kesemua anak-anak Melayu dinafikan.

Anak muda juga akan mempersoalkan siapakah sebenarnya pejuang sebenar Ketuanan Melayu pada hari ini, apabila usul di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan ditolak oleh Adun Umno. Sedangkan anak muda boleh membaca sejarah tentang perjuangan Melayu itu.

Anak muda boleh dengan mudah mendapatkan fakta dengan luas dan dapat membezakan bagaimana harga barang yang melambung naik pada hari ini di negara Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara jauh lebih murah yang sama majunya dengan Malaysia.

Begitu juga anak muda akan mempersoalkan berkenaan ‘kekeringan’ peluang pekerjaan di negara tanah tumpah air mereka ini jika hendak dibandingkan dengan negara yang sudah merdeka sama seperti Malaysia. Semua itu anak muda ketahui.

Justeru untuk menipu ‘bulat-bulat’ anak muda dengan perjuangan Ketuanan Melayu sebagai pembela adalah tindakan yang meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Walhal nasib anak muda hari ini tidak juga berubah. Sudahlah perlu membayar semula pinjaman pendidikan, dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu serta gaji yang tidak sepadan dengan harga barang dan perbelanjaan. Belum lagi memikirkan bagaimana tempat tinggal, jauh sekali mahu mendirikan rumah tangga.

Saya tidak pasti, bilakah akan berlaku ‘pemuda membakar diri’ kerana kesempitan ini. Kita jangan rasa tidak mungkin berlaku. Ini kerana sifat anak muda itu adalah tidak mudah dijangka (unpredictable).


Kos kapal tentera laut mahal 870 peratus'-lagi petanda pilihanraya??

Pembelian oleh Kementerian Pertahanan sekali lagi menarik perhatian apabila dikatakan bersedia membayar RM6 bilion bagi mendapatkan enam kapal tentera laut, 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama.

Menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, pembelian kapal peronda pesisir pantai OPVs oleh Tentera Laut Diraja New Zealand tahun lalu hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu.

NONEIsrael, tambahnya, yang sedang berperang, membayar AS260 juta (RM791 juta) untuk OPVs, kira-kira RM219 juta kurang daripada apa yang sedia dibayar oleh Kementerian Pertahanan.

Menurutnya, kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek bernilai AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman (AS188 juta atau RM572 juta) dan Saar V dari Israel (AS260 juta atau RM791 juta) setiap satu.

"Hatta dalam kelas yang amat tinggi, Lockheed Martin dan General Dynamics, dua syarikat persenjataan terbaik dan terbesar di dunia, membina kapal perang Littoral (LCS) Amerika Syarikat dengan nilai kurang daripada AS300 juta (RM913 million) pada tahun 2004," kata Pua.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pua juga setiausaha publisiti DAP mempertikaikan kerana pembelian itu tidak dibuat secara kompetitif apabila negara yang jauh lebih maju dalam ketenteraan seperti Amerika Syarikat mengamalkan perkara itu.

ADUN Sri Muda didakwa menghasut-Mkini

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menyiarkan artikel berbentuk hasutan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam blog pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

NONEShuhaimi tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi manusia terkenal Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah wakil rakyat Pakatan Rakyat, termasuk Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar dan Yaakob Sapari.

PKR MELANGKAH KEHADAPAN


Bera-PKR Bera kini telah melangkah kehadapan dengan penubuhan ranting baru di daerah tersebut di mana Seramai 50 ahli PKR telah menjadi ahli dan pembukaan cawangan baru di Kampung Muhibbah di Bera telah berlangsung pada 6 februari baru-baru ini.Majoriti ahlinya adalah kaum India Majlis membuka cawangan baru telah di adakan di kampong mihibbah Bera dan di rasmikan oleh Timbalan Pengerusi perhubungan negeri Pahang , Sdr Nizam Hamid , Tuan Hj Abas Awang selaku ketua cabang dan pengerusi pendidikan PKR kebangsaan, Sdr Saravanan Timbalan AMK Pahang dan juga EXCO AMK Pusat, Dr Yahya Abd Rahman , Pengerusi perhubungan Raub dan juga Setiausaha Cabang Temerloh, dan Sdr Bob Monolan iaitu Biro Orang Asal Pusat dan juga selaku EXCO AMK Pusat serta wakil PAS Bera.

Dalam ucapannya Hj Abas Awang menjelaskan bahawa dengan pembukaan cawangan di kampong Muhibbah ini, ianya bukan sahaja menunjukkan bahawa sokongan kepada PKR tidak berubah, malah bertambah di sana sini kerana parti ini bukanlah sebuah parti yang berdasarkan perkauman dan juga ianya adalah sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat. Rakyat adalah tuan di Negara ini jelasnya lagi.

Selain merasmikan pembukaan cawangan baru di kampong Muhibah , di Bera ini, masyarakat di Kampung Mihibbah ini yang tinggal lebih 40 tahun selama ini masih lagi gagal untuk mendapatkan geran tanah bagi penempatan mereka .Perkara ini turut dibangkitkan oleh Sdr Saravanan dalam ucapannya dan menjelaskan bahawa kaum India dinafikan hak mereka di kawasan ini dan wakil rakyat juga tidak pernah hadir untuk melawat mereka dan bertanya khabar. Malahan, menurut beliau lagi sekolah tamil di kawasan berkenaan dibina hanya mempunyai sebuah tandas . malahan tempat pembuangan sampah juga di letakkan di hadapan sekolah tersebut.

“ Kawasan ini bukan kaum india sahaja yang menetap, terdapat juga kaum Melayu di kawasan ini.Walau kerajaan menyatakan bahawa tanah rezab ini adalah tanah kezab KTMB, namun kawasan ini terletak lebih jauh dari tanah rezab KTMB sebagaimana yang di wartakan” demikian jelas beliau lagi.

Majlis kemudiannya di rasmikan oleh Sdr Nizam Hamid selaku Timbalan pengerusi perhubungan negeri Pahang .Beliau juga menerima memorandum dan borang penyertaan ahli dari kaum India dan juga kaum Melayu di kawasan tersebut.

DOKTOR DAN BEKAS PENGETUA DISENARAI BAKAL CALON PAS MERLIMAU

Pas Melaka dijangka tidak ketandusan tokoh berwibawa untuk diletakkan sebagai calon dalam Pilihanraya Kecil Dun Merlimau. Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon Pas di Merlimau ialah seorang doktor yang mempunyai klinik sendiri di Dun Merlimau.

Beliau seorang yang cukup dikenali dan disenangi oleh penduduk tempatan serta sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Bekas calon Pas sebelum ini ialah Mejar (B) Jasmee Tompang yang merupakan pimpinan Pas Kawasan Jasin.

Selain itu, seorang bekas pengetua perempuan yang pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah di Dun Merlimau sebelum ini turut dicanang dan bakal dipertimbangkan sebagai calon.

Kedua -dua calon ini dijangka bakal memberikan saingan sengit serta imej positif kepada pengundi untuk merealisasikan impian Pas untuk menghantar wakil ke DUN Melaka.

sumber : Angkasanuri

MENGAPA POLIS MENGGANAS?

RIDWAN SHAMSUDIN-PAKATANDAILY.COM

Tunjuk perasaan menyokong rakyat Mesir menentang pemerintahan diktator Hosni Mubarak di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, berakhir dengan penangkapan lebih 20 orang aktivis. Tunjuk perasaan yang asalnya aman dari masjid Asy-Syakirin berhampiran KLCC berakhir dengan keganasan polis memukul dan menahan penunjuk perasaan sebaik sahaja mereka mula bersurai.

Tunjuk perasaan yang dipimpin oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO itu tiba di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada pukul 2.30 petang setelah berarak sejauh 2 kilometer dari KLCC

Polis cuba menghalang perarakan di jalan masuk masjid. Namun kekentalan semangat Unit Amal PAS menyebabkan para penunjuk perasaan berjaya bergerak ke hadapan Kedutaan Amerika.

Kira-kira 3,000 orang berhimpun di hadapan bangunan kedutaan mendengar ucapan dari beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat dan beberapa orang yang mewakili rakyat Mesir.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam ucapannya membidas rejim kuku besi Mubarak yang tidak mengindahkan desakan rakyat agar berundur hingga menyebabkan lebih 140 orang rakyat Mesir telah terbunuh.

“Kami berkumpul hari ini untuk menunjukkan soladiriti rakyat Malaysia kepada kawan-kawan kami di Mesir. Mereka telah tertindas sejak sekian lama. Mereka tiada pilihanraya yang bebas dan kini mereka bangkit melawan.

“Kita salut dengan kawan-kawan di Mesir kerana mereka berani menghadapi rejim yang zalim untuk mendapatkan kebebasan,” ucapnya.

Wakil pelajar Malaysia di Mesir, Ustaz Farhan yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Di Mesir turut mengecam kerajaan Mesir dan kerajaan Malaysia yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan pemindahan penuntut Malaysia di negara bergolak itu.

Polis cuba menahan seorang peserta tunjuk perasaan


“Kita rasa sama-sama keperitan kawan-kawan di Mesir . Semalam Mubarak telah berbohong di media mengatakan keganasan menyebabkan 16 orang terbunuh yang disebabkan militia adalah perancangan Ikhwal Muslimin ( parti pembangkang).

“Mubarak bacul, di sini juga sama. Ada 11 ribu rakyat Malaysia yang kerajaan kata akan bawa pulang dengan bantuan kerajaan. Tetapi bantuan yang diberi hanyalah pengangkutan dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi. Sedangkan dari Jeddah ke Malaysia mereka kena guna duit sendiri,” bidasnya disambut laungan ‘Down Mubarak’.

Manakala wakil dari PKR Badrul Hisham Shaharin meminta kerajaan Malaysia mengambil iktibar apa yang berlaku di Mesir dan jangan terus menekan rakyat.

“Di Tunisia diktatornya lari menyelamatkan diri. Wahai pihak berkuasa di Malaysia, kamu boleh jaga kerajaan . Tetapi apabila sampai kuasa rakyat, rakyat akan bangkit.

“Di Mesir tentera dan polis sebahagiannya di belakang rakyat. Di Malaysia pun perkara ini boleh terjadi,” katanya.

Sementara Naib Presiden PAS Sallehudin Ayub mengecam Mesir yang menjadi talibarut Amerika Syarikat dan Israel. Juga mengecam Amerika yang memberi dana sehingga 1 bilion dollar membantu rejim Mubarak.

Tunjuk perasaan berakhir jam 2.45 petang. Bagaimanapun ketika kumpulan terakhir berarak untuk bersurai berhampiran bangunan Tabung Haji mereka terhalang oleh barisan FRU yang berkawal. Apabila semakin ramai penunjuk perasaan melepasi FRU, terjadi provokasi dari kedua-dua belah pihak. Lantas pasukan polis bertindak memukul dan menahan seorang pemuda.

Pergelutan antara penunjuk perasaan dan FRU itu mengakibatkan seorang peserta demonstrasi cedera di kepala. Beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba meleraikan keadaan juga turut dikasari polis. Seorang anggota Unit Amal PAS cuba ditahan polis dan berlaku lebih banyak pergelutan serta semburan gas serbuk lada.

Penunjuk perasaan akhirnya berundur ke Bangunan Tabung Haji. Mereka bersurai secara beransur-ansur namun polis masih menghadang jalan dan mengepung bangunan berkenaan. Penunjuk perasaan berjumpul di hadapan bangunan dan membeli minuman serta makanan ringan.

Bagaimanapun pihak polis masih menuntut mereka bersurai biarpun tidak lagi menunjuk perasaan. Pada jam 3.10 petang,tiba-tiba trak meriam air FRU menyembur air kimia ke arah orang ramai yang berkumpul di Bangunan Tabung Haji termasuk ke arah beberapa orang penjaja dan orang ramai yang sedang makan.

Tindakan itu menyebabkan saki-baki penunjuk perasaan marah dan melakukan provokasi terhadap polis. Kira-kira 40 orang polis kemudiannya mengejar penunjuk perasaan hingga ke dalam bangunan tabung haji.

Mengulas kejadian itu, ADUN Batu Buruk Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang berada di bangunan Tabung Haji mempertikaikan kekerasan melampau yang ditunjukkan pihak polis dalam tunjuk perasaan aman.

“Ini satu tindakan yang biadap. Kita berhimpun secara aman. Polis bertindak ganas menggempur para peserta perhimpunan. Ini sesuatu yang malang dalam negara demokrasi. Rakyat melihat semua (kekasaran) ini,” katanya.

VIDEO DEMONTRASI






GAMBAR DEMONTRASI PETANG TADI-WRLR

Demontrasi petang tadi menyaksikan hampir 8 ditahan.Selain 4 atau lebih yang ditahan di luar kawasan demontrasi, ada yang ditahan di bawah banggunan Tabung Haji.Hampir 4 di percayai ditahan apabila engan bersurai selepas demontrasi dan berehat di situ.Pihak polis FRU melepaskan semburan air ke arah peserta yang berehat di kawasan bangunan tabung haji.Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha yang tidak sepatutnya berlaku.













CAHAYA DI MASJID AL AQSA








Media dan pergolakan Mesir

Media dan pergolakan Mesir

Mustafa K Anuar | Feb 03, 2011

Enam wartawan dari stesyen televisyen satelit Al Jazeera edisi bahasa Inggeris baru-baru ini dilaporkan ditahan buat beberapa ketika dan kemudian dilepaskan oleh pihak tentera Mesir. Tetapi alat kelengkapan kamera mereka masih dirampas dan berada dalam tangan pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja. Sebelum ini, regim Hosni Mubarak mengambil tindakan untuk menutup biro Al-Jazeera di Mesir kerana nampaknya disebabkan pelaporan beritanya yang meluas dan kritis tentang pergolakan di Mesir yang tidak disenangi regim itu.

Kejadian ini bukanlah sesuatu yang luar biasa khususnya bagi orang Mesir dan juga pemerhati media kerana sebelum tercetusnya konflik dan protes besar-besaran di Mesir ini sudahpun berlaku di masa lalu beberapa kes wartawan dan blogger ditahan dan juga dihadapkan ke mahkamah atas alasan "keselamatan negara" dan sebagainya. Atau sekurang-kurangnya tindakan pemerintah ini adalah bertujuan untuk cuba menakut-nakutkan pihak media dan wartawan tertentu.

Tindakan ini nampaknya "selaras" dengan sikap dan dasar regim Mubarak yang rata-rata tidak menghormati prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan media di negaranya. Dan tindakan regim Mubarak baru-baru ini menutup rangkaian Internet dan sekali gus menjejaskan aktiviti blog, emel, Facebook dan Twitter serta rangkaian telefon bimbit - walaupun mengejutkan ramai orang - adalah secocok dengan paradigma kolot dan merbahaya ini. Ini kerana ianya merupakan satu usaha pihak berkuasa Mesir untuk melumpuhkan komunikasi, aktiviti dan solidariti antara ribuan orang Mesir yang membawa protes mereka ke jalan-jalan di Kahirah dan kota lain di Mesir.

Pendekata, inilah cara atau kaedah yang digunakan oleh sesebuah regim yang mengalami keretakan hegemoninya di mata rakyat jelata dan merasakan kepentingannya terancam. Tindakan ini adalah selain daripada menggunakan kekerasan pada peringkat akhirnya melalui "khidmat" apparatus negara seperti polis dan tentera bertujuan untuk "mendiamkan" orang ramai.

Sesungguhnya rakyat jelata Mesir selama lebih kurang tiga dekad yang lalu tidak mempunyai peluang dan ruang (kalau adapun, kurang) untuk melafazkan secara terbuka perasaan tidak puas hati, kegelisahan, kekecewaan, kemarahan, keinginan dan impian mereka melalui media massa arus perdana yang ada di negara itu. Seperti di kebanyakan negara yang mengalami kebebasan media yang tersekat, Internet dilihat atau diangkat sebagai satu "cahaya" yang boleh menerangi bumi Mesir pada tahap dan keadaan sosial tertentu.

Ini bukanlah untuk mencadangkan bahawa tercetusnya satu gelombang "reformasi" di Mesir adalah disebabkan rangkaian Internet dan aktiviti blog, Facebook dan Twitter semata- mata. Keadaan sosio-ekonomi dan politik di Mesir dan ruang komunikasi yang "dibuka" oleh Internet saling "mencuit" hati dan memperkasakan rakyat Mesir untuk memberontak dan meluahkan perasaan pemberontakan ini.

Dengan kata lain, kemiskinan, pengangguran, harga barang keperluan yang melambung tinggi, rasuah, dan juga ketiadaan (atau kekurangan) akauntabiliti dan ketelusan serta penyalahgunaan kuasa bagi diri pihak pemerintah, antara lain, merupakan beberapa faktor utama yang menggerakkan hati rakyat untuk bangkit menuntut keadilan dan kesaksamaan. Dan dalam konteks ini media baru dan media sosial saling membantu meningkatkan kesedaran politik rakyat.

Lagipun, hakikat bahawa rakyat Mesir terus bangkit memberontak walaupun rangkaian Internet dicengkam kuat oleh regim Mubarak menunjukkan faktor sosio-ekonomi dan politik menjadi pemangkin utama dalam pergolakan Mesir ini. Tetapi ada juga kemungkinan bahawa penutupan rangkaian Internet ini menggerakkan lagi rakyat Mesir, lebih-lebih lagi generasi muda yang pandai-teknologi (tech-savvy), terus berdegil memprotes di khalayak ramai.

Iktibar daripada pengalaman Mesir

Apakah pengajaran atau iktibar yang boleh diperolehi dari pengalaman Mesir ini? Antara lain, pemerintah mesti hormati prinsip demokrasi, keadilan, akauntabiliti dan ketelusan yang boleh membantu mencorakkan dasar pemerintah yang mesra rakyat atau people-centred dan mendirikan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, bertamadun dan harmonis.

Tidak kurang pentingnya ialah dasar ekonomi yang tidak menghasilkan jurang besar antara si kaya dan si miskin, dan juga penting ialah gaya hidup mewah pemerintah tidak bertentangan atau berkontradiksi dengan cara hidup sebilangan besar rakyat yang melarat dan miskin. Jurang pemisah ini sudah tentunya boleh menyalakan api di hati yang marah dan perut yang lapar.

Dari segi komunikasi dan media, pemerintah Mesir, seperti pentadbiran negara lain yang kononnya mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, perlu menghormati dan menghayati kebebasan media dan kebebasan bersuara untuk setiap lapisan masyarakat.

Media yang bebas dan bertanggungjawab boleh memainkan peranan yang penting bagi memberi maklum balas rakyat terhadap dasar-dasar yang digariskan oleh pemerintah dan yang menimbulkan implikasi kepada kehidupan rakyat jelata. Bukan sahaja maklum balas ini membolehkan pemerintah mengetahui kesan dari dasarnya tetapi juga memberi peluang bagi rakyat untuk melibatkan diri mereka secara langsung atau tidak langsung dalam proses mengambil keputusan (decision-making process) bagi menentukan bahawa dasar berkenaan betul-betul memberi manfaat kepada rakyat biasa.

Seperti halnya di Malaysia, penglibatan politik rakyat tidak hanya bermula dan berhenti pada saat mereka membuang undi di pilihan raya. Mereka mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam membantu mencorakkan dasar negara melalui kegiatan seperti perbincangan umum, surat kepada wakil rakyat, membuat petisyen dan berdemonstrasi di jalan. Rakyat tidak boleh memberi cek kosong (blank cheque) kepada wakil rakyat mereka untuk membolehkan wakil mereka berbuat apa yang mereka suka.

Perasaan kecewa, gelisah, tidak puas hati serta keinginan dan impian rakyat yang dibendung kerana tiada media arus perdana yang sanggup memberi peluang untuk luahan perasaan ini boleh akhirnya "meletup" hingga mencetuskan krisis politik dalam negara di mana rakyat bangkit untuk menuntut keadilan di ruang awam.

Lagipun, sekatan yang dikenakan terhadap media arus perdana menidakkan rakyat jelata ruang untuk berdialog sesama sendiri atau bersama pihak pemerintah secara bertamadun apabila berhadapan dengan masalah sosio-ekonomi dan politik yang menghantui negara. Sekurang-kurangnya dialog ini sepatutnya mengingatkan pemerintah bahawa ia perlu berunding atau berdialog dengan rakyat yang memilihnya untuk mewakili mereka dan kepentingan mereka, lebih-lebih lagi bagi isu yang mendatangkan kesan mendalam atau serius kepada diri rakyat itu sendiri.

Media dan wartawan yang bersekongkol dengan pihak pemimpin yang tidak adil dan telus hanya merumitkan lagi keadaan dalam masyarakat kerana gambaran realiti sosial yang menyeluruh tidak disampaikan ke pengetahuan si pemimpin untuk tindakan susulan. Sikap ini bukan sahaja mencabuli etika profesion kewartawanan kerana membelakangi kebenaran dan keadilan malah ia boleh dianggap sebagai satu tindakan yang bukan patriotik.

Seperkara lagi mengenai media baru dan media sosial; ianya adalah satu gejala yang menawan hati ramai orang, khususnya muda mudi. Itulah sebabnya usaha untuk menapis media ini, yang mana baru-baru ini ada ura-ura untuk berbuat demikian oleh pihak pemerintah di Malaysia, mendapat tentangan daripada khalayak ramai. Jadi kita boleh bayangkan betapa marahnya rakyat Mesir apabila regim Mubarak mengambil tindakan untuk menutup Internet ketika komunikasi pantas dalam kalangan aktivis dan rakyat biasa menjadi begitu perlu dan penting.

Akhir sekali, badan manusia boleh ditahan dan dipenjarakan. Idea dan perasaan insani yang dibendung akhirnya akan mengalir keluar jua menerusi saluran yang sesuai dengan keadaan tertentu.

*Mustafa K Anuar ialah pemerhati media dan politik.