
Seorang pemimpin yang baik sepatutnya membantu menyelesaikan masalah, bukan memburukkan keadaan dengan kenyataan yang tidak menggambarkan keseluruhan fakta seperti Ahmad Zahid.
KATA ANDA, 29 Okt – 1. Zahid mempertikaikan Kerajaan Madani
Dalam satu perhimpunan UMNO, Zahid berkata:
“Jangan ada perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri. Kerajaan Perpaduan yang disepakati itu ada dalam perjanjian, entah bagaimana Kerajaan Perpaduan Nasional ditukar menjadi Kerajaan Madani.”
Sedangkan, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, penggunaan nama Kerajaan Madani telah dipersetujui dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sejak 2023 lagi. Fahmi juga merupakan jurucakap Kerajaan Madani. Maka, kenyataan beliau merupakan penjelasan rasmi kerajaan berhubung perkara tersebut.
Persoalannya, mengapa Zahid mempertikaikan perkara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet?, sedangkan beliau merupakan sebahagian daripada kepimpinan kerajaan itu?
2. Zahid mempertikaikan kuota BUDI MADANI
Dalam perhimpunan UMNO juga, Zahid secara terbuka mengkritik dasar Kerajaan Madani berkaitan BUDI MADANI, yang didakwanya sebagai dasar flip-flop.
Sedangkan, berdasarkan kronologi yang umum kita ketahui, pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter dibuat susulan perkembangan perang di Timur Tengah.
Kuota itu kemudiannya dinaikkan semula kepada 300 liter selepas Kerajaan Madani berjaya memperoleh jaminan bekalan minyak dari Rusia, bukannya kerana pilihan raya negeri di Negeri Sembilan.
Tindakan Zahid ini bukan sahaja merupakan serangan terbuka terhadap kerajaan yang dibinanya bersama, malah menimbulkan persoalan tentang kefahaman beliau terhadap dasar kerajaan sendiri.
Jika benar beliau tidak memahami rasional di sebalik perubahan dasar tersebut, hal ini memperlihatkan kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin nasional yang sepatutnya mampu menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat, bukannya sekadar mengkritiknya demi kepentingan politik.

Jelasnya, rakyat nampak usaha keras PMX Anwar Ibrahim dan team untuk mendapatkan jaminan bekalan minyak. Rakyat juga sedar harga petrol dan diesel subsidi di Malaysia adalah antara terendah di dunia dan Malaysia tidak pernah menghadapi krisis kekurangan bekalan seperti mana negara-negara jiran.
3. Zahid mendakwa Kerajaan Madani membatalkan projek di Sabah dan Sarawak
Terbaharu, Zahid secara terbuka di Parlimen mendakwa terdapat pihak tertentu yang mengarahkan supaya projek-projek luar bandar dibatalkan.
Menurut Zahid, pembatalan tersebut telah menjejaskan Sabah dan Sarawak.
Persoalannya, apakah tujuan Zahid membangkitkan isu ini dengan mengaitkannya secara langsung dengan Sabah dan Sarawak tanpa menjelaskan keseluruhan latar belakang serta punca sebenar tindakan berkenaan?
Pendekatan sedemikian berisiko membentuk persepsi bahawa Kerajaan Madani sengaja mengabaikan pembangunan di kedua-dua negeri tersebut. Ini langkah politik Zahid untuk merenggangkan hubungan baik Madani dan Sabah Sarawak.
Tidak hairanlah apabila isu ini segera mendapat perhatian dan reaksi daripada pemimpin Sabah dan Sarawak di Parlimen, yang mahu mengetahui pihak yang bertanggungjawab serta sebab projek-projek berkenaan ditangguhkan atau dibatalkan.

Namun, untuk memahami isu ini secara adil, kita perlu melihat kronologi yang membawa kepada keputusan tersebut.
4. Memahami kronologi isu projek KKDW
4.1 1 September 2026 — Kontraktor membangkitkan isu tunggakan bayaran
Kontraktor mendakwa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) gagal membuat pembayaran walaupun kerja-kerja telah disiapkan, khususnya bagi projek jalan luar bandar.
Persatuan kontraktor Bumiputera turut memberi amaran bahawa keadaan ini boleh menyebabkan kontraktor Bumiputera mengalami kerugian besar, malah berisiko muflis.
Pemuda UMNO – Akmal Salleh juga mendesak supaya perkara ini diberikan penjelasan.
4.2 2 September 2026 — Kementerian Kewangan memberikan penjelasan
Kementerian Kewangan (MOF), melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, tampil menjelaskan bahawa tiada sekatan peruntukan dikenakan terhadap KKDW.
MOF mendedahkan bahawa peruntukan tahunan bagi 2026 telah disalurkan sepenuhnya. Bagaimanapun, kekangan aliran tunai berlaku kerana KKDW telah membuat komitmen perbelanjaan melebihi bajet asal (over-committed).

Bagi membantu kontraktor yang terjejas, MOF mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan segera sebanyak RM300 juta. Pada masa yang sama, kerajaan mula mengenal pasti ruang penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung tunggakan bayaran KKDW.
4.3 10 September 2026 — Langkah kawalan kewangan
Kerajaan mengeluarkan arahan penangguhan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek-projek baharu sebagai langkah kawalan kewangan.
Langkah ini bertujuan mengelakkan komitmen kewangan terus meningkat tanpa mengambil kira keupayaan pembayaran kerajaan, di samping memberi ruang untuk menyelesaikan tunggakan bagi projek sedia ada.
4.4 Oktober 2026 — Peruntukan tambahan ditingkatkan
Pada pertengahan Oktober 2026, kerajaan meningkatkan bantuan kepada KKDW dengan meluluskan peruntukan tambahan sehingga jumlah keseluruhan bantuan tambahan yang diumumkan mencecah RM500 juta.
Dana ini disasarkan untuk membantu menyelesaikan baki tunggakan tuntutan serta memulihkan aliran tunai kontraktor luar bandar yang terjejas.
4.5 26 Oktober 2026 — Zahid membangkitkan isu penangguhan SST di Parlimen
Zahid kemudian membangkitkan isu penangguhan SST bagi projek-projek KKDW di Parlimen dan mengkritik tindakan Kerajaan Madani.
4.6 Berdasarkan kronologi ini, timbul persoalan: adakah Zahid benar-benar tidak mengetahui punca sebenar penangguhan SST tersebut?
Bukankah langkah itu diambil bagi mengawal komitmen perbelanjaan yang telah melebihi bajet asal, sekali gus mengelakkan masalah tunggakan bayaran kepada kontraktor daripada terus berulang?

4.7 Jika benar matlamatnya adalah untuk melindungi kontraktor, maka tindakan mengawal perbelanjaan dan menyelesaikan tunggakan sedia ada sepatutnya dilihat dalam konteks pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, bukannya semata-mata dijadikan modal politik.
5. Kerajaan Madani telah memberikan peluang besar kepada Zahid
Sekarang, mari kita lihat pula fakta berkaitan peruntukan kepada KKDW.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai KKDW.
Ini merupakan peluang besar untuk UMNO membuktikan bahawa parti itu masih mampu memperjuangkan nasib orang Melayu, khususnya masyarakat luar bandar yang sebahagiannya telah beralih sokongan kepada PAS.
Atas dasar itu, pelbagai projek pembangunan luar bandar telah diluluskan oleh Kerajaan Madani dengan peruntukan yang besar.
Persoalannya, jika kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar, mengapa pula timbul masalah komitmen perbelanjaan berlebihan sehingga bayaran kepada kontraktor terjejas?
Bukankah pengurusan peruntukan dan pemantauan komitmen kewangan merupakan antara tanggungjawab utama kementerian yang dipimpinnya?
6. Peruntukan KKDW meningkat dengan ketara di bawah Kerajaan Madani
Faktanya, berdasarkan angka yang dikemukakan:
- 2018–2022: Peruntukan KKDW berjumlah RM3.7 bilion.
- 2023–2027: Peruntukan yang diluluskan di bawah Kerajaan Madani berjumlah RM11 bilion, termasuk peruntukan dalam Belanjawan 2027.

Ini menunjukkan peningkatan peruntukan yang ketara bagi pembangunan luar bandar.
Apa maknanya?
Maknanya, Kerajaan Madani memberikan perhatian yang besar kepada keperluan pembangunan luar bandar, termasuk kawasan yang sekian lama memerlukan kemudahan infrastruktur dan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, peruntukan yang besar bukanlah lesen untuk berbelanja tanpa kawalan. Setiap perbelanjaan tetap tertakluk pada peraturan kewangan, keutamaan pembangunan dan prinsip tadbir urus yang baik.
7. Wang kerajaan bukan wang UMNO atau wang peribadi
Zahid tidak boleh berbelanja tanpa kawalan seolah-olah peruntukan kerajaan itu wang milik UMNO atau wang peribadinya dari Yayasan Akalbudi.
Wang kerajaan ialah wang rakyat yang diuruskan melalui sistem kewangan awam dan tertakluk pada peraturan yang telah ditetapkan.
Sebab itulah setiap kementerian perlu memastikan komitmen kewangannya selaras dengan peruntukan yang diluluskan serta keupayaan pembayaran kerajaan.
Kita tidak mahu kesilapan pengurusan kewangan akhirnya menyebabkan kontraktor yang telah menyiapkan kerja menjadi mangsa.
8. Zahid perlu menghormati ketua kerajaan dan penjawat awam
Tindakan Zahid mengkritik Kerajaan Madani secara terbuka tanpa memberikan gambaran menyeluruh tentang isu yang dibangkitkan menimbulkan persoalan tentang sikap beliau sebagai anggota kanan kerajaan.

Lebih membimbangkan, pendekatan sedemikian boleh dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada persoalan asas, iaitu bagaimana komitmen perbelanjaan KKDW boleh melebihi bajet asal sehingga menjejaskan pembayaran kepada kontraktor.
Dalam masa yang sama, penjawat awam yang menguruskan kewangan kerajaan perlu diberikan ruang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Pengurusan kewangan negara tidak boleh ditundukkan kepada tekanan politik atau kepentingan mana-mana parti.
9. Negara tidak boleh dibiarkan ditadbir tanpa disiplin kewangan
Kita tidak mahu kewangan negara terjejas akibat pengurusan perbelanjaan yang tidak berdisiplin.
Setiap pemimpin yang diberikan amanah menguruskan kementerian mesti bertanggungjawab terhadap peruntukan yang diluluskan, komitmen yang dibuat dan kesan keputusan mereka terhadap rakyat serta kontraktor.
Jika berlaku kelemahan pengurusan, pemimpin berkenaan perlu tampil memberikan penjelasan dan mengambil tanggungjawab, bukannya sekadar menyalahkan pihak lain.
Jawatan menteri bukan sekadar ruang untuk mengumumkan projek dan menuntut peruntukan. Ia datang bersama tanggungjawab untuk memastikan setiap sen wang rakyat diuruskan dengan berhemah.
10. Tolak Zahid, tolak UMNO
Jika perkara asas seperti disiplin kewangan dan tanggungjawab terhadap komitmen perbelanjaan pun gagal diuruskan dengan baik, bagaimana rakyat mahu meletakkan kepercayaan kepada pemimpin berkenaan untuk memimpin negara?

Kita tidak mahu penjawat awam ditekan oleh kepentingan politik sehingga prinsip tadbir urus yang baik diketepikan.
Kita juga tidak mahu kontraktor menjadi mangsa akibat kelemahan pengurusan peruntukan, sedangkan mereka telah melaksanakan kerja yang dipertanggungjawabkan.
Seorang pemimpin yang baik sepatutnya membantu menyelesaikan masalah, bukan memburukkan keadaan dengan kenyataan yang tidak menggambarkan keseluruhan fakta.
Tolak Zahid. Tolak UMNO.
Terima kasih.
Oleh Fairul al Qasas

No comments:
Post a Comment