Menyorok Di Lombong Bijih Besi, 30 PATI Dicekup Awal Pagi

 


IMG_9425

PGA dan PDRM melaksanakan Op Taring Wawasan Kelantan dan berjaya menahan 30 PATI dalam serbuan di Kampung Gual Dalam, Lubok Stol, Pasir Mas pada 29 Oktober 2026.

RANTAU PANJANG, 29 Okt – Op Taring Wawasan Kelantan dikendalikan Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Lubok Stol, di sini, awal pagi tadi.

Operasi berkenaan dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 9 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada pukul 5 pagi tadi dengan kekuatan seramai 20 anggota pelbagai peringkat.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, tindakan itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat hingga membawa kepada penahanan PATI terbabit.

PGA dan PDRM melaksanakan Op Taring Wawasan Kelantan dan berjaya menahan 30 PATI dalam serbuan di Kampung Gual Dalam, Lubok Stol, Pasir Mas pada 29 Oktober 2026.

“Pemeriksaan di beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja mendapati sekumpulan warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, pasport dan permit kerja yang sah.

“Sebahagian mereka turut disyaki menyalahgunakan permit kerja, tinggal tanpa dokumen perjalanan yang sah, menggunakan dokumen meragukan serta memiliki pasport yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan itu membawa kepada penahanan 16 lelaki warga Bangladesh dan 14 warga Indonesia, termasuk dua wanita, berusia antara 25 hingga 53 tahun.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.





No comments: