Kadar penangguhan tawaran menunaikan haji dalam kalangan bakal jemaah Tabung Haji (TH) menurun kepada 18 peratus berbanding lebih 50 peratus sebelum ini susulan pelaksanaan syarat simpanan minimum RM15,000, menurut kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu membantu meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji, khususnya dengan mengurangkan keperluan membuat tawaran penggantian kepada jemaah lain dalam tempoh singkat.
“Pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai tidak buat persediaan secukupnya dengan lebih 50 peratus jemaah yang menerima tawaran memohon untuk ditangguhkan. Ini memberi kesan kepada kecekapan pengurusan penggiliran apabila perlu membuat tawaran penggantian dalam tempoh yang singkat.
“Justeru, apabila ditetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 Tabung Haji, kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Isnin.
Menurut Zulkifli, syarat itu bukan sahaja bertujuan memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan yang lebih baik, malah membolehkan pendeposit mengekalkan kelayakan menerima agihan keuntungan tahunan bagi simpanan mereka.
Beliau berkata, pelaksanaan syarat simpanan minimum itu juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), termasuk menaikkan bayaran pendaftaran muassasah serta meningkatkan deposit bagi kelayakan automatik menunaikan haji.
“Inisiatif ini juga dilaksanakan selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menaikkan bayaran pendaftaran muassasah serta meningkatkan deposit kelayakan automatik.
“Langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan urusan penggiliran jemaah haji dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap, di samping menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan lebih awal sebelum tiba giliran menunaikan ibadah berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pendeposit sedia ada diberikan tempoh peralihan lebih dua tahun untuk menambah simpanan sehingga RM15,000 sekiranya mahu mengekalkan giliran haji masing-masing.
Katanya, bermula 1 Januari 2029, senarai giliran akan disusun semula berdasarkan pematuhan terhadap syarat simpanan minimum berkenaan.
Melalui pendekatan itu, tempoh menunggu giliran menunaikan haji dijangka dapat dipendekkan dengan ketara kepada sekitar 70 tahun berbanding 150 tahun sebelum ini, katanya.
Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 itu merupakan antara langkah penambahbaikan pengurusan haji yang menurut kerajaan bertujuan memperkemas sistem giliran, mengurangkan penangguhan tawaran serta menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal.

No comments:
Post a Comment