ADA CERITA MENARIK APABILA MENERIMA KUNJUNGAN USTAZ SOMAD.

 


Ada satu perkara menarik yang Anwar Ibrahim ceritakan ketika menerima kunjungan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad, di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.






Rupanya, sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar sudah berbincang dengan isterinya, Dr Wan Azizah, supaya kediaman rasmi Perdana Menteri itu sentiasa dihidupkan dengan majlis ilmu.


Walaupun beliau sendiri tidak menginap di situ, Anwar mahu Seri Perdana menjadi tempat berkumpulnya ulama, tokoh agama, ilmuwan dan masyarakat yang mahu menimba pengetahuan. Bukan sekadar sebuah kediaman rasmi yang tersergam indah.


Dan ini bukan program sekali-sekala semata-mata. Menurut Anwar, majlis ilmu bersama ulama dalam dan luar negara sudah menjadi antara pengisian berkala di Seri Perdana. Ada kalanya setiap minggu, ada kalanya dua minggu sekali.


Yang kelakarnya, Anwar sempat mengusik Dr Wan Azizah. Katanya, isterinya memang peminat ceramah Ustaz Abdul Somad. Sampai kadang-kadang kalau beliau panggil pun tak dengar kerana sedang asyik menonton ceramah ustaz itu di YouTube. Begitulah suasana santai majlis berkenaan.


Menarik juga apabila Anwar sendiri bertindak sebagai moderator. Hampir 300 peserta hadir, termasuk pelajar universiti, wakil agensi kerajaan, pendakwah muda dan pertubuhan masyarakat.


Ustaz Abdul Somad pula membawa mesej yang cukup penting. Kalau mahu umat bersatu, jangan asyik membesarkan perbezaan. Carilah persamaan. Jaga akhlak kerana cara kita melayan orang lain juga mencerminkan ajaran agama yang kita bawa.


Anwar sendiri mengakui Ustaz Abdul Somad seorang pendakwah yang berani menegur, termasuk terhadap pemerintah. Tetapi bagi beliau, teguran perlu diterima dengan hati terbuka supaya kelemahan dapat diperbaiki.


Dalam majlis yang sama, Anwar turut mengingatkan bahawa umat Islam mesti menguasai ilmu baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi kuantum. Kemajuan teknologi perlu berjalan seiring dengan kekuatan akidah, akhlak dan nilai kemanusiaan.


Bagi saya, inilah antara perkara baik yang wajar kita hargai. Kediaman rasmi Perdana Menteri bukan hanya boleh menjadi tempat menerima tetamu kenamaan dan mengurus urusan negara, tetapi juga tempat menyuburkan ilmu dan mempertemukan masyarakat dengan para ulama.


Kalau tradisi seperti ini dapat diteruskan, manfaatnya bukan sekadar pada mereka yang hadir. Ilmu yang dikongsikan boleh sampai kepada lebih ramai rakyat melalui rakaman dan perkongsian di media sosial.


Rumah rasmi mungkin lambang kedudukan seorang pemimpin. Tetapi apabila rumah itu dimanfaatkan untuk majlis ilmu, ada nilai yang jauh lebih besar daripada kemegahan bangunannya.


#AhmadMursi





No comments: