
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Harapan (PH) bersiap sedia dengan persiapan menghadapi PRU DUN Johor dan Negeri Sembilan pada 5 Jun 2026. Foto JPKK Pulau Meranti
PUCHONG, 5 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) kini sedang giat mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, segala aspek persiapan jentera akan digerakkan secara optimum memandangkan notis pembubaran DUN bagi kedua-dua negeri itu dibuat dalam tempoh singkat.
“Setakat laporan semalam, kita buat (persiapan jentera) sedaya upaya kita walaupun untuk Johor itu notis yang singkat.

“Saya menyeru rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan tumpu soal ekonomi, masalah rakyat. Kita (sebenarnya) ada masa untuk tumpu dua tiga bulan lagi bagi memulihkan (keadaan), kemudian pilihan raya. Tetapi Johor mahu (PRU DUN) segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, dekat sini hari ini.
PH katanya, bersiap sedia dengan persiapan berkenaan selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua jentera di negeri-negeri yang telah melaksanakan pembubaran DUN.
Mengulas mengenai Mesyuarat Biro Politik KEADILAN semalam, Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata intipati utama perbincangan adalah tertumpu kepada soal perkembangan PRU DUN di kedua-dua negeri berkenaan.

“Kita bincang perkembangan di Johor (dan) keperluan untuk perkasa pasukan, kemudian juga kemungkinan masa itu pembubaran Negeri Sembilan. Sekarang sudah bubar, jadi kita persiapkan pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Isnin lepas, Menteri Besar Johor, mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
No comments:
Post a Comment