
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S), Dr Michael Mertin di Putrajaya pada 4 Jun 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 4 Jun – Perkembangan semasa operasi syarikat AT&S Malaysia di Kulim, Kedah antara perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S), Dr Michael Mertin.
Sehingga kini, syarikat itu menggaji kira-kira 2,700 tenaga kerja di Kulim, menurut hantaran di media sosial yang dikongsikan Anwar hari ini.

Menerusi hantaran itu, Anwar berkata, Malaysia merupakan antara hab pengeluaran utama syarikat tersebut selain Austria, China dan India, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan dan daya saing negara.
“AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak, selain membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik termasuk peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, perindustrian serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI),” ujar beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan dukungan yang jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
“Keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S merupakan cerminan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemat serta kejelasan dasar Kerajaan MADANI,” kata Anwar.

No comments:
Post a Comment