Kontraktor Gesa Serah Kembali Projek MARRIS Kepada Kerajaan Negeri






KANGAR: Sekumpulan kontraktor di negeri ini menggesa projek-projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kembali diserahkan kepada kerajaan negeri bukan melalui syarikat konsesi. 


Wakil kontraktor G1, Fatimah Bidin, 62, berkata, pihak kontraktor kini berdepan kesukaran bagi melaksanakan projek selepas proses undian, berikutan harga dirundingkan terlalu menekan dan rendah sehingga menyebabkan mereka tidak meraih sebarang keuntungan. 


Katanya, beberapa rundingan juga telah dibuat sebelum ini bersama syarikat konsesi namun harga projek MARRIS tetap tidak berubah malah pelbagai alasan diberikan. 


“Oleh itu, kami kontraktor harap kalau tidak dapat serah semua, sekurang-kurangnya berilah separuh balik kepada kerajaan negeri untuk membolehkan penglibatan kami secara terus tanpa melibatkan konsesi,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan himpunan aman bersama sekumpulan 30 kontraktor di pekarangan Kompleks Seri Putra, di sini hari ini. 


Dalam himpunan itu, kumpulan kontraktor berkenaan turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bagi mendapatkan perhatian daripada kerajaan negeri berhubung isu berkenaan. 


Fatimah berkata, terdapat dalam kalangan kontraktor yang berjaya mendapat undian sebelum ini terpaksa menyerahkan semula projek kepada syarikat konsesi berikutan tidak dapat untuk dilaksanakan. 


“Pihak kontraktor di negeri ini tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh pihak konsesi tambahan pula dengan tekanan kenaikan harga diesel, simen dan peningkatan kos binaan yang melambung tinggi,” katanya. 


Katanya, syarikat konsesi berkenaan mula menguruskan projek MARRIS tersebut sejak tahun lalu dan sebelum ini, pelaksanaan dikendalikan oleh kerajaan negeri. 


Katanya, bayaran projek yang telah siap kepada konraktor juga agak lambat sehingga mengundang kesukaran. 


Artikel Penuh Di Ruangan Komen 🔽

.

Sumber : Utusan Malaysia

.

Teruskan Bersama @PerlisPermai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.

.

#PerlisPermai

#VisitPerlis

#VisitPerlis2026

#FBLifeStyleLife

#TahunMelawatPerlis




No comments: