Derma jadi pelaburan? NGO disyaki ‘pusing’ RM230 juta

 






Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta, dalam satu operasi di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan dalam serbuan berasingan, manakala seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua yang merupakan pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan penyelewengan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

“Timbalan pengerusi NGO terbabit dipercayai telah memindahkan kira-kira RM230 juta ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi,” kata sumber.

Siasatan kini menjurus kepada elemen penyalahgunaan dana awam memandangkan NGO berkenaan menerima sumbangan orang ramai untuk membantu golongan memerlukan.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita pelbagai aset termasuk 18 kenderaan mewah seperti Porsche dan Mercedes, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta. Turut dibekukan ialah 33 akaun bank melibatkan jumlah sekitar RM120 juta bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.



No comments: