RAKYAT MALAYSIA MAHU YANG MANA - AZAM BAKI PERGI ATAU DAP PERGI?



25 Februari 2026


Semalam Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendesak agar kerajaan segera mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berhubung isu pemilikan sahamnya yang melebihi had dibenarkan sebagai penjawat awam.


Beliau memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan untuk bertindak boleh menyebabkan rakyat dan pengundi hilang kepercayaan terhadap pentadbiran sedia ada.


Menegaskan kepentingan integriti, pemimpin DAP itu berkata, ini merupakan kali kedua isu pemilikan saham melibatkan Azam dibongkarkan, sekali gus menuntut satu tindakan drastik diambil.


“Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go (Dia kena pergi atau kita yang perlu pergi). 


“He go or we go (Dia pergi atau kita yang pergi),” tegasnya.


Sejujurnya, dalam isu ini, rata-rata daripada kita boleh bersetuju bahawa Azam Baki harus pergi.


Dengan sudah dua kali isu memiliki saham terkait dirinya mencemarkan peraturan, beliau dikira sudah jadi liabiliti kepada kerajaan.


Apatah lagi, kerajaan madani ini begitu beria-ia mengangkat isu tatakelola dalam pentadbirannya.


Tentunya kelihatan janggal di mata rakyat jika kerajaan mahu terus bercakap soal tatakelola tetapi gagal bertindak sewajarnya dalam isu mudah seperti memiliki saham yang melebihi had yang dibenarkan.


Maka itu, jawapan paling tepat ialah Azam mesti pergi.


Tetapi, dalam konteks yang lebih luas apabila Ahli Parlimen Kota Melaka itu memberi kata dua kepada kerajaan - Azam Baki yang pergi atau kami (DAP) yang pergi - apakah pilihan kita sebenarnya?


Kita suka Azam Baki tiada lagi sebagai KP SPRM atau kita lebih suka DAP tiada dalam kerajaan?


Adakah masih boleh diterima jika Azam Baki kekal  ada tetapi DAP tiada lagi dalam kerajaan?


Atau lebih baik DAP kekal dalam kerajaan, namun Azam Baki disuruh pergi?


Ataukah lebih baik jika kedua-duanya harus pergi? - ShahbudinHusin 25Februari2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1223520113104439&id=100063393840098





No comments: