DUA TERENGGANU’ YANG MENGHIMPIT ANWAR




25 Februari 2026


Apabila Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi PN, ramai yang segera membayangkan beliau adalah Perdana Menteri selepas PRU16 akan datang.


Kata ramai orang, nampaknya kali ini Malaysia buat pertama kali akan mendapat Perdana Menteri berasal daripada Terengganu.


Dr Ahmad Samsuri atau Dr Sam berasal daripada Besut, Terengganu dan kini merupakan Menteri Besar Terengganu, Ahli Parlimen Kemaman dan ADUN Rhu Rendang, Marang.


Tidak dinafikan kemunculan Dr Sam sebagai Pengerusi PN membuatkan ramai yang teruja berikutan imejnya yang bersih, wataknya yang sederhana dan tahap pendidikan tinggi dimilikinya.


Ramai yang mengharap beliau mampu memimpin negara ini ke arah yang lebih baik, penuh bermakna dan bukan dengan jerit pekik yang memekakkan telinga.


Melihat wajah Dr Sam, tidak kurang yang sejuk mata, lalu berharap kepimpinannya nanti turut mampu menyejukkan hati-hati yang kecewa lantaran banyak janji yang tak dilaksana.


Pendek kata, kehadiran Dr Sam seperti menepati maksud pantun perumpaaan -  kalau mencari tempat mandi, yang pertama teluk, kedua pantai

- kalau mencari pemimpin sejati, pertama elok, kedua pandai.


Hakikatnya, jika PN berjaya menggerakkan kempen dengan berkesan, Dr Sam yang memimpin gabungan itu bakal menjadi cabaran terbesar kepada PH pada PRU akan datang.


Cabaran utama tentunya Dr Sam yang berasal daripada Terengganu itu sendiri yang dilihat mempunyai pelbagai kelebihan dan mudah dipasarkan untuk menarik hati pengundi.


Dalam sudut yang lain,  di samping PN yang kini diterajui Dr Sam merupakan pesaing utama kepada PH, gabungan parti yang membentuk kerajaan sekarang juga sedang menerima pelbagai tekanan dalaman yang jika tidak diuruskan dengan baik, pasti akan menjejaskan peluangnya memenangi PRU akan datang.


Tekanan paling kuat dan terhebat ketika ini ialah daripada Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Ekonomi.


Sejak terkeluar daripada jawatan utama parti dan kerajaan, Rafizi mula menggerakkan podcast mingguannya untuk menyerang kerajaan, Anwar selaku Perdana Menteri, PKR dan hal-hal yang berkaitan PH.


Serangan dan kritikan Rafizi itu sudah tentu lama kelamaan akan membuatkan rakyat makin menjauhi PKR/PH, Anwar dan kerajaan.


Kelebihan Rafizi ialah beliau ada tarikan di kalangan pengundi bandar, kelompok profesional serta pengundi atas pagar.


Lebih menarik lagi kerana Rafizi sudah pun mengumumkan untuk bertanding lagi di Parlimen Pandan pada PRU16 akan datang, tetapi bukan atas tiket PKR/PH.


Jika 9 Ahli Parlimen PKR yang sekarang setia bersama Rafizi turut mengikut langkah, mahu tidak mahu, ini adalah suatu pukulan buat PKR/PH, Anwar dan juga kerajaan.


Secara kebetulan, Rafizi juga berasal daripada Terengganu, sama seperti Dr Sam.


Kedua-dua mereka berasal daripada Besut, cuma Rafizi kemudiannya membesar di Kemaman, manakala Dr Sam sekarang Ahli Parlimen Kemaman dan Rafizi Ahli Parlimen Pandan di Selangor.


Dalam PRU16 akan datang, kedua-dua sosok Terengganu ini adalah ancaman sebenar kepada PKR/PH, Anwar dan kerajaan semasa.


Dr Sam melalui gabungan politik Melayu terbesar PN yang diterajuinya akan menghimpit Anwar di sebelah kanan,  sementara Rafizi dengan serangan terhadap dalam bentuk yang lain akan menghimpit di sebelah kiri.


“Dua Terengganu” ini, walaupun mungkin tidak bersama dalam satu wadah atau parti, tetapi mereka mempunyai tujuan dan matlamat yang sama pada PRU16 akan datang iaitu sama-sama ingin melihat PKR/PH dan Anwar dapat dijatuhkan.


Tidak mustahil pula nantinya, salah seorang daripada “Dua Terengganu” itu akan menduduki kerusi Perdana Menteri yang sekarang diduduki Anwar. - ShahbudinHusin 25Februari2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1223748466414937&id=100063393840098





No comments: