10 MP PKR TUNTUT BEBERAPA PERKARA LEBIH TELUS.

 


Sekumpulan 10 ahli Parlimen PKR mencetuskan gelombang baharu dalam arena politik apabila memberi bayangan bahawa sokongan mereka terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 tidak akan diberikan secara automatik.



Mereka menegaskan bahawa pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya mesti benar-benar menjamin kebebasan institusi, bukan sekadar perubahan struktur di atas kertas. Dengan undi dua pertiga diperlukan, pendirian kumpulan ini dilihat mampu menjadi faktor penentu.


Antara tuntutan utama mereka ialah supaya Parlimen diberi peranan langsung dalam pelantikan Pendakwa Raya melalui proses pendengaran awam yang telus dan disiarkan secara terbuka. 


Mereka berpendapat cadangan sedia ada terlalu menumpukan kuasa kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), sekali gus menimbulkan persoalan tentang semak dan imbang sebenar.


Sokongan mereka, tegasnya, bergantung kepada kesediaan kerajaan mempertimbangkan pindaan tersebut.


Kenyataan bersama itu turut merujuk kepada gesaan pertubuhan sivil seperti Bersih, Pusat C4 dan IDEAS yang mempersoalkan tahap kebebasan jawatan Pendakwa Raya dalam rang undang-undang berkenaan. 


Walaupun pelantikan dicadangkan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor SPKP selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, pengkritik berhujah bahawa pengaruh Perdana Menteri masih wujud secara tidak langsung melalui pelantikan pengerusi SPKP.


Bagi menguatkan hujah, kumpulan ahli Parlimen itu mengimbas kembali kontroversi lampau termasuk isu 1MDB, dengan mendakwa bahawa ketika itu rakyat dan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Peguam Negara yang memegang kuasa pendakwaan. 


Mereka juga mencadangkan agar tempoh jawatan Pendakwa Raya dihadkan kepada empat tahun berbanding tujuh tahun seperti dicadangkan, bagi mengelakkan pemusatan kuasa yang terlalu lama merentasi beberapa pentadbiran.


RUU berkenaan dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua pada 2 Mac, dan perdebatan dijangka menjadi panas.


Reformasi memisahkan fungsi AG dan Pendakwa Raya merupakan janji besar pembaharuan institusi, namun kini persoalannya lebih besar adakah pindaan ini benar-benar memperkukuh demokrasi, atau sekadar menukar bentuk kuasa tanpa mengubah keseimbangan sebenar?



No comments: