Pas panggil mesyuarat tergempar bincang isu pengerusi PN
Pas telah memanggil satu mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu untuk menerajui gabungan pembangkang itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata parti itu menerima keputusan Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari.
“Bagi pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan Mahiaddin serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh menerajui PN,” kata Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai mesyuarat tergempar tersebut, Hadi berkata ia perlu diadakan tanpa sebarang kelewatan memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan Mahiaddin telah melebihi 10 hari.
Beliau berkata mesyuarat itu bertujuan memenuhi keperluan Fasal 8.3(i)(b) Perlembagaan PN, iaitu untuk menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN serta melantik pengganti.
Hadi bagaimanapun tidak memperincikan bila mesyuarat tergempar itu akan diadakan.
Peletakan jawatan Mahiaddin berkuatkuasa 1 Jan.
Beberapa nama yang disebut sebagai pengganti Mahiaddin termasuklah Hadi, timbalan presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pengarah pilihanraya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan naib presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
No comments:
Post a Comment