
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun setakat akhir tahun lalu. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun setakat akhir tahun lalu, manakala pasaran buruh di pelbagai sektor kekal stabil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, ia susulan kedudukan ekonomi yang semakin menggalakkan hampir di semua sektor industri dan perkhidmatan negara.
Ujarnya, pencapaian itu hasil usaha Kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu.
“Kita akan terus bekerja keras memastikan pertumbuhan ini benar-benar diterjemah kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan bermaruah dan masa depan yang lebih terjamin untuk rakyat, Insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, jumlah tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.



No comments:
Post a Comment