Dari ‘PN Best’ ke PN Hancur: Api sengketa Pas–Bersatu makin marak
Oleh FATHI ARIS OMAR
Krisis dalam Perikatan Nasional (PN) bukan satu lapis dan bukan satu parti sahaja. Sejak Pas melepaskan jawatan bendahari PN hujung 2024, krisis itu sudah bermula tetapi terselubung. Tidak ramai orang tahu.
1) Krisis antara Pas dengan Bersatu. Apabila Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berkenan pilihan Tan Sri Mahiaddin Yassin yang melantik Datuk Seri Azmin Ali sebagai Setiausaha PN.
Walau hasrat Hadi sudah disuarakan tetapi Mahiaddin tetap lantik Azmin. Maka Hadi bantah, lalu Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan Bendahari PN.
2) Hujung tahun yang sama, kira-kira setahun lalu, Bersatu membuat tuntutan sepihak untuk mengetuai Perak, Pahang dan Selangor jika PN menang PRU akan datang. Pas terasa.
3) Kemudian muncul cadangan Mahiaddin sebagai calon PM, atau “poster boy”, bagi gabungan tersebut.
Sekali lagi Pas mempertikai, menuduh Bersatu suka buat keputusan sepihak.
Waktu ini ketegangan dua parti ini sudah makin jelas tetapi sering dianggap “ribut di dalam cawan” sahaja.
Yalah, sedangkan lidah lagikan tergigit, apalah sangat suami isteri atau gabungan politik yang kerjanya mencatur kuasa seperti PN, PH atau BN.
Namun, perang di media antara dua parti ini masih nampak terkawal selepas perhimpunan agung Bersatu dan muktamar Pas pada September lalu.
Perang antara kem
Hinggalah muncul perang antara kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan kem Muhyiddin. Semua cerita dalam point 1 hingga 3 terbocor di depan orang ramai.
Ia berlarutan hingga PRN Sabah.
Orang Pas banyak berdiam sewaktu Hamzah-Mahiaddin bertempur. Jadi, nampaklah buruk Bersatu. Tiada sesiapa terselamat dalam dua kem ini, semua ini dibongkar.
Sabah suntik keyakinan (ego?) Pas apabila menang satu kerusi, sementara Bersatu kalah teruk hingga banyak juga yang hilang wang deposit.
Bukan sahaja mereka gelakkan Bersatu dan DAP yang gagal dapat apa-apa kerusi tetapi juga gelakkan PKR yang tinggal hanya satu kerusi! Padahal, masing-masing dapat satu sahaja.
Ketika sorakan kegembiraan orang PAS mula sejuk, dua minggu kemudian, tiba-tiba Pesuruhjaya Pas Perlis gesa semua orang parti beri “sokongan tidak berbelah bahagi” kepada Menteri Besar.
Kenyataan hari Jumaat, 19 Disember itu tidak begitu jelas pada orang luar. Langkah Kangar atau Langkah Arau, semua orang termasuk penyokong Pas, masih kabur.
Kemudian, tiga wakil rakyat Pas diberhentikan keahliannya. Esoknya Cikgu Shukri Ramli berundur.
Tuduh-menuduh, serang-menyerang antara Pas dan Bersatu makin tajam dan melukakan.
Kata “berambus” muncul, diikuti peletakan jawatan Mahiaddin sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari. Pemimpin lain ikut serta. Muncul semula cerita Bersatu mahu pecat Hamzah.
Tetapi semua ini tidak meredakan keserabutan PN. Timbul persoalan baharu, siapa mahu ganti kekosongan Pengerusi PN? Hadi kata tidak mahu. Muncullah nama anak didiknya Samsuri.
Tetapi Samsuri bukan nama yang positif kepada semua. Golongan ustaz tidak gemar padanya walau imejnya agak positif dari luar parti.
Beliau dilihat tenang, moderat, rasional, terbuka dan profesional – imej yang sesuai untuk lonjak lagi wibawa PN.
Saya agak Hadi tidak kisah naikkan Samsuri tetapi ramai agamawan, termasuk menantunya, tidak selesa dengan Samsuri. Timbul masalah dalam parti Pas pula jika Samsuri naik (atau dinaikkan).
Sebab itu, beliau lebih suka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, walau imej ustaz ini tidak cukup positif di dalam dan luar parti. Sama juga reputasi Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jasin sekarang.
Dalam Bersatu juga begitu, tidak semua reda jika Dr Samsuri jadi Pengerusi PN tetapi mereka mahu seorang tokoh pemersatu untuk PRU ke-16.
Bersatu seperti merajuk, tidak mahu lagi jawatan itu. Pas pula teragak-agak namakan seorang calon. Muncul idea kekalkan sahaja Mahiaddin!
Buat masa ini, perang Bersatu-Pas sudah merebak ke peringkat lebih bawah. Bekas pegawai Mahiaddin diserang, malah Pas berasa perlu rampas kerusi Gombak Setia yang disandang Hilman Idham, orang kuat Azmin sejak zaman PKR.
Termasuk Ketua Penerangan Bersatu, semua orang kuat kem Mahiadddin diserang juak-juak Pas.
Malah, Azmin dan Hilman dituduh “kuda Trojan” PH dalam Bersatu/PN untuk rujuk semula PH.
Juak-juak ini makin rancak serang-menyerang sebab presiden masing-masing tidak boleh move on daripada keruntuhan kerajaan Pas Perlis.
Hadi anggap semua ini pengkhianatan Bersatu, maka Pas tidak boleh menyertai pentadbiran Perlis. Mahiaddin pula kata Bersatu tidak pernah khianat tetapi hanya menurut titah raja.
Pendek kata, krisis PN ini bukan hanya isu Pas vs Bersatu. Bahkan juga krisis dalam Bersatu ditambah pergeseran dalam Pas, reaksi mereka pada Pas di Perlis dan ura-ura pelantikan Dr Samsuri.
Di mana hujung sengketa ini? Mampukah PN kekalkan semangat PN Best, (tidak berapa) Prihatin, (belum cukup) Bersih, (sangat tidak) Stabil.
Di luar semua ini, yang kita selalu baca: semuanya angkara politik DAP dan kegagalan PMX.
Hadi dan Mahiaddin baik-baik sahaja, penyelamat bangsa!
No comments:
Post a Comment